31/01/13

Masyaallah,Keburukan Tidur Selepas Subuh



Masyaallah,Keburukan Tidur Selepas Subuh

Saudaraku, ingatlah bahawa orang-orang soleh terdahulu sangat membenci tidur pagi.
Berkata Ibnul Qayyim ,
banyak tidur dapat mematikan hati dan membuat badan merasa malas serta membuang-buang waktu. Beliau rahimahullah mengatakan,

“Banyak tidur dapat mengakibatkan lalai dan malas-malasan. Banyak tidur ada yang termasuk dilarang dan ada pula yang dapat menimbulkan bahaya bagi badan."

Waktu tidur yang paling bermanfaat yaitu :

1. Tidur ketika perlu tidur.
2. Tidur di awal malam – ini lebih manfaat daripada tidur lewat malam.
3. Tidur di pertengahan siang –ini lebih bermanfaat daripada tidur di waktu pagi dan petang. Apatah lagi pada waktu pagi dan petang sangat kurang manfaatnya bahkan lebih banyak bahaya yang ditimbulkan, lebih-lebih lagi tidur di waktu Asar dan awal pagi kecuali jika memang tidak tidur semalaman.

Menurut para salaf, tidur yang terlarang adalah tidur ketika selesai solat subuh hingga matahari terbit. Kerena pada waktu tersebut adalah waktu untuk menuai ghonimah (pahala yang berlimpah). Mengisi waktu tersebut adalah keutamaan yang sangat besar, menurut orang-orang soleh. Sehingga apabila mereka melakukan perjalanan semalam suntuk, mereka tidak mahu tidur di waktu tersebut hingga terbit matahari. Mereka melakukan demikian kerana waktu pagi adalah waktu terbukanya pintu rezeki dan datangnya barokah (banyak kebaikan).” (Madarijus Salikin, 1/459, Maktabah Syamilah)

BAHAYA TIDUR PAGI

[Pertama]
Tidak sesuai dengan petunjuk Al Qur'an dan As Sunnah.

[Kedua]
Bukan termasuk akhlak dan kebiasaan para salafush soleh (generasi terbaik umat ini), bahkan merupakan perbuatan yang dibenci.

[Ketiga]
Tidak mendapatkan barokah di dalam waktu dan amalannya.

[Keempat]
Menyebabkan malas dan tidak bersemangat di sisa harinya.

Maksud dari hal ini dapat dilihat dari perkataan Ibnul Qayyim. Beliau rahimahullah berkata,
"Pagi hari bagi seseorang itu seperti waktu muda dan akhir harinya seperti waktu tuanya."
(Miftah Daris Sa'adah, 2/216).
Amalan seseorang di waktu muda berpengaruh terhadap amalannya di waktu tua. Jadi jika seseorang di awal pagi sudah malas-malasan dengan sering tidur, maka di petang harinya dia juga akan malas-malasan pula.

[Kelima]
Menghambat datangnya rezeki.

Ibnul Qayyim berkata,
"Empat hal yang menghambat datangnya rezeki adalah:-
[1] tidur di waktu pagi,
[2] sedikit solat,
[3] malas-malasan dan
[4] berkhianat."
(Zaadul Ma’ad, 4/378)

[Keenam]
Menyebabkan berbagai penyakit badan, di antaranya adalah melemahkan syahwat.
Zaadul Ma’ad, 4/222)

26/01/13

Siapakah Sahabat Rasulullah Yang Dimandikan Oleh Malaikat ?




Bercakap tentang pergorbanan para sahabat waktu ketika dahulu memang tiada tandingannya. Mereka sanggup berkorban apa sahaja demi Islam.

Jadi tidak hairanlah, apabila seorang sahabat yang dikenali sebagai Hanzalah bertindak menyertai peperangan bersama Rasulullah SAW biarpun dirinya baru sahaja mengadakan majlis pernikahan. Ia biarkan rasa seronok, semata-mata untuk memberi kemenangan kepada Islam. Allahuakhbar!


Perkahwinan Hanzalah bin Abu Amir dengan sepupunya, Jamilah binti Ubay sudah siap diatur. Kebetulan pula, hari berlangsungnya perkahwinan Hanzalah bertembung dengan hari peperangan tentera Islam menentang musuh di Bukit Uhud.

Hanzalah bin Abu Amir mendekati Rasulullah s.a.w., “Saya bercadang menangguhkan sahaja perkahwinan saya malam nanti.”

Pada masa itu, Nabi Muhammad s.a.w. dan tentera-tentera Islam di kota Madinah sibuk membuat persiapan akhir untuk berperang.

“Tidak mengapa, teruskan sahaja perkahwinan ini,” balas Rasulullah s.a.w..

“Tetapi saya sungguh berhajat bagi menyertainya, ” Hanzalah bertegas.

Rasulullah s.a.w. berkeras supaya Hanzalah meneruskan perkahwinannya dan memberi cadangan supaya Hanzalah menyusuli tentera Islam di Bukit Uhud pada keesokan hari, setelah selesai upacara perkahwinan.
Hanzalah mendiamkan diri. Ada benarnya saranan Nabi Muhammad itu; perkahwinan ini bukan sahaja melibatkan dirinya bahkan bakal isterinya juga. Pada malam Jumaat yang hening, perkahwinan antara Hanzalah bin Abu Amir dan Jamilah binti Ubay dilangsungkan secara sederhana.

Suasana yang hening dan sunyi itu tidak tenang hingga ke pagi. Kota Madinah tiba-tiba dikejutkan dengan paluan gendang yang bertubi-tubi. Paluan gendang mengejutkan para pejuang bersama laungan menyebarkan berita.

“Bersegeralah! Kita bersegera perangi musuh Allah.”
“Berkumpul segera! Keluarlah! Rebutlah syurga Allah!”
“Perang akan bermula!”


Pukulan gendang dan laungan jihad itu mengejutkan pasangan pengantin yang baru sahaja dinikahkan. Hanzalah bingkas dari tempat tidurnya, “Saya harus menyertai mereka.”

“Bukankah malam ini malam perkahwinan kita dan Nabi Muhammad mengizinkan kanda berangkat esok?”Soal isterinya.

Hanzalah menjawab tegas, “Saya bukanlah orang yang suka memberi alasan bagi merebut syurga Allah.”


Jamilah terdiam dan hanya mampu memerhatikan suaminya bersiap memakai pakaian perang dan menyelitkan pedang ke pinggangnya.

Hanzalah menoleh ke arah isterinya, “Janganlah bersedih, doakan pemergian saya semoga saya beroleh kemenangan.”

Suami isteri itu berpelukan dan bersalaman. Berat hati Jamilah melepaskan lelaki yang baru sahaja menjadi suaminya ke medan perang. Namun, Jamilah menguatkan hatinya dan melepaskannya dengan penuh redha.

“Saya mendoakan kanda beroleh kemenangan.”
Hanzalah melompat ke atas kudanya dan terus memecut tanpa menoleh ke belakang. Akhirnya, dia berjaya bergabung dengan tentera Islam yang tiba lebih awal daripadanya.
Di medan perang, jumlah tentera musuh adalah seramai tiga ribu orang yang lengkap bersenjata manakala jumlah tentera Islam hanyalah seramai seribu orang.

Perbezaan itu tidak menggugat sanggar wibawa tentera Islam termasuklah Hanzalah. Dia menghayun pedangnya menebas leher-leher musuh yang menghampiri dan apabila dia terpandang Abu Sufyan, panglima tentera Quraisy, Hanzalah menerkam Abu Sufyan umpama singa lapar.

Mereka berlawan pedang dan bergelut; akhirnya Abu Sufyan sungkur ke tanah. Tatkala Hanzalah mengangkat pedang mahu menebas leher Abu Sufyan, dengan kuat panglima tentera Quraisy itu menjerit menarik perhatian tentera Quraisy.

Tentera-tentera Quraisy menyerbu Hanzalah dan Hanzalah tewas, rebah ke bumi.
Sebaik sahaja perang tamat, tentera Islam yang tercedera diberikan rawatan. Mayat-mayat yang bergelimpangan dikenalpasti dan nama-nama mereka, tujuh puluh orang kesemuanya, dicatat.

Sedang Nabi Muhammad yang tercedera dan patah beberapa batang giginya diberi rawatan, beliau mengatakan sesuatu yang menyentak kalbu, “Saya terlihat antara langit dan bumi, para malaikat memandikan mayat Hanzalah dengan air daripada awan yang diisikan ke dalam bekas perak.”

Abu Said Saidi, antara tentera yang berada dekat dengan Nabi Muhammad bingkas mencari jenazah Hanzalah.

“Benar kata-kata Nabi Muhammad. Rambutnya masih basah bekas dimandikan!” Abu Said Saidi menyaksikan ketenangan wajah Hanzalah walaupun beliau cedera parah di seluruh badannya.

Rambutnya basah dan titisan air mengalir di hujung rambutnya sedang ketika itu matahari terik memancar

24/01/13

Perutusan Maulidur - Rasul 1434H





Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Firman Allah SWT yang bermaksud :

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang) - Surah al-Ahzab, ayat 21

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana masih lagi berpeluang untuk berada di dalam bulan Rabiul Awwal tahun 1434 Hijrah ini. Sekali lagi kita sama-sama berada dalam suasana menyambut Maulidur-Rasul yang merupakan satu rutin tahunan kepada umat Islam bukan sahaja di Malaysia bahkan di seluruh dunia.

Sesungguhnya Rasulullah SAW adalah contoh yang terbaik untuk manusia dalam menjalani kehidupan seharian. Sengaja Allah SWT, melantik rasulNya dari kalangan manusia agar boleh dicontohi dan dijadikan tauladan. Allah SWT tidak melantik rasulNya dari kalangan malaikat kerana malaikat ialah makhluk yang tidak mempunyai nafsu. Bagaimana manusia yang mempunyai nafsu mahu menjadikan malaikat yang berlainan fitrah sebagai tauladan?

Sesungguhnya, apabila Rasulullah SAW menjadi tauladan, ia bukan sahaja contoh di dalam ibadat tetapi dalam semua apsek kehidupan. Aspek rumahtangga sebagai contoh, Rasulullah SAW terkenal sebagai seorang suami yang suka bergurau dengan isterinya. Gurauan ini tidak pernah melunturkan nilai nubuwwah yang ada pada diri Baginda bahkan ia merupakan penyeri kepada kehidupan berumahtangga yang diperlukan oleh setiap manusia. Kadang-kadang sudut ini yang dicuaikan oleh sebahagian daripada kita yang menjadikan kehidupan kita kaku dan beku tanpa gurau senda.

Demikian juga dalam aspek muamalat dengan rakyat. Rasulullah SAW terkenal sebagai seorang yang gemar menuturkan kata-kata manis sehingga menyenangkan pendengar. Bahkan terdapat juga situasi Rasulullah SAW bergurau dengan gurauan yang benar sehingga menjadikan dirinya lebih dikagumi dan disayangi.

Apa yang lebih penting ialah kejayaan Rasulullah SAW merubah paradigma pemikiran masyarakat jahiliyyah yang tebal dengan tradisi karut dalam tempoh perjuangan baginda selama 23 tahun. Sekalipun baginda merupakan seorang nabi yang juga kekasih Allah SWT, tetapi tempoh yang diambil oleh baginda untuk menjayakan misi dakwah di Mekah dan Madinah tidak mengambil masa sekelip mata. Sirah inilah yang mengajar kita bahawa setiap perjuangan memerlukan tempoh masa yang tersendiri. Inilah lumrah dalam perjuangan yang wajib diterima oleh semua pendokong perjuangan Islam hari ini.

Hakikatnya, maulidur-rasul bukan hanya setakat meraikan kelahiran baginda Rasulullah SAW tetapi juga menjunjung tinggi syariat yang dibawa olehnya. Syariat ini perlu diletakkan di tempat yang tertinggi dalam pelbagai aspek kehidupan. Jika semangat ini dipupuk, insya-allah kita akan melihat suasana sambutan Maulidur-rasul yang benar-benar bermakna akan wujud di negara ini, Insya-Allah.

Sekian.

22/01/13

FADHILAT DAN KHASIAT SURAH ALI IMRAN






Imam ad-Dailami dari Imam Makhul mengatakan:


"Barangsiapa membaca surat Ali Imran pada hari Jumaat maka para malaikat memohon keampunan untuknya sampai malam hari."


Juga Imam Ibnu Zanjawaeah dari Imam Wahab Ibn Munabih menjelaskan:


"Barangsiapa membaca Surat al-Baqarah dan Ali Imran pada malam Jumaat maka baginya Nur cahaya diantara Arasy dan dasar bumi."


Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud:


"Dalam tiga surat terdapat ismullah al-a'zham dimana kalau untuk berdoa kepada Allah maka terkabullah dan jika untuk memohon maka terpenuhilah yakni didalam: Surat al-Baqarah, permulaan surat Ali Imran dan dalam surat Thana. Demikian dalam Khawashil-Quran.


Dari sahabat Utsman bin Affan r.a. Imam ad-Darimi mengatakan dari sahabat Utsman ibn Affan r.a. yang bermaksud:


"Barangsiapa membaca akhir surat al-Fatihah, ayat Kursi dan dua ayat surat Ali Imran (iaitu)(Innafi qlfissamawati...ila akhirissurati) pada malam hari, maka ia tercatat melakukan ibadah seluruh malam."


Dan siapa membaca surah al-Fatihah, ayat Kursi dan dua ayat surah Ali Imran, dibacanya ketika sehabis sembahyang fardhu, maka tempat kembalinya adalah syurga.


DIANTARA KHASIAT-KHASIAT DALAM SURAH ALI IMRAN


Khasiat Ayat 1-4 - Pendinding -Kebahagiaan dan segala hajat
Khasiat Ayat 8 - Husnul Khatimah
Khasiat Ayat 9 - Mengembalikan barang yang hilang
Khasiat Ayat 7-9 - Kecerdikan luar biasa
Khasiat Ayat 14 - Pengasih
Khasiat Ayat 26-27 - Luas rezeki -Karamah -Segala hajat
Khasiat Ayat 35-37 - Perlindungan kepada perempuan hamil -Pelaris
Khasiat Ayat 73-74 - Pelaris dan meminang
Khasiat Ayat 83 - Menghadapi binatang buas, liar dan orang zalim
Khasiat Ayat 103-104 - Pengasih dan Pelembut Hati
Khasiat Ayat 111-112 - Menghadapi musuh
Khasiat Ayat 134-136 - Pelindung dari kejahatan
Khasiat Ayat 144 - Menghentikan darah
Khasiat Ayat 146-148 - Menghilangkan kesedihan ketika menghadapi musibah
Khasiat Ayat 169-171 - Penerang hati dan mendapat taufiq
Khasiat Ayat 173-174 - Menghadapi musuh -Pengasih
Khasiat Ayat 190-194 - Teguh Iman -Qiamullail
Khasiat Ayat 200 - Isteri derhaka, anak degil, binatang liar

MP3 SURAH ALI IMRAN OLEH SHEIKH MISHARY RASHID


MUQADIMMAH


Surat Ali 'Imran yang terdiri dari 200 ayat ini adalah surat Madaniyyah. Dinamakan Ali 'Imran karena memuat kisah keluarga 'Imran yang di dalam kisah itu disebutkan kelahiran Nabi Isa a.s., persamaan kejadiannya dengan Nabi Adam a. s., kenabian dan beberapa mukjizatnya, serta disebut pula kelahiran Maryam puteri 'Imran, ibu dari Nabi Isa a.s. Surat Al Baqarah dan Ali 'Imran ini dinamakan Az Zahrawaani (dua yang cemerlang), karena kedua surat ini menyingkapkan hal-hal yang disembunyikan oleh para Ahli Kitab, seperti kejadian dan kelahiran Nabi Isa a.s., kedatangan Nabi Muhammad s.a.w. dan sebagainya.


Pokok-pokok isinya:


1. Keimanan:
Dalil-dalil dan alasan-alasan yang membantah orang Nasrani yang mempertuhankan Nabi Isa a.s.; ketauhidan adalah dasar yang dibawa oleh seluruh Nabi.


2. Hukum-hukum:
Musyawarah; bermubahalah; larangan melakukan riba.


3. Kisah-kisah:
Kisah keluarga 'Imran; perang Badar dan Uhud dan pelajaran yang dapat diambil dari padanya.


4. Dan lain-lain:
Golongan-golongan manusia dalam memahami ayat-ayat mutasyaabihaat; sifat-sifat Allah; sifat orang-orang yang bertakwa; Islam satu-satunya agama yang diridhai Allah; kemudharatan mengambil orang-orang kafir sebagai teman kepercayaan; pengambilan perjanjian para Nabi oleh Allah; perumpamaan-perumpamaan; peringatan-peringatan terhadap Ahli Kitab; Ka'bah adalah rumah peribadatan yang tertua dan bukti-buktinya; faedah mengingati Allah dan merenungkan ciptaanNya.

AKTIVITI MASJID 2013


Mana Mak?




Jam 6.30 petang.

Mak berdiri di depan pintu. Wajah Mak kelihatan resah. Mak tunggu adik bungsu balik dari sekolah agama.
... ...
Ayah baru balik dari sawah.

Ayah tanya Mak, “Along mana?’

Mak jawab, “Ada di dapur tolong siapkan makan.”

Ayah tanya Mak lagi,” Angah mana?”

Mak jawab, “Angah mandi, baru balik main bola.”

Ayah tanya Mak, “Ateh mana?”

Mak jawab, “Ateh, Kak Cik tengok tv dengan Alang di dalam?”

Ayah tanya lagi, “Adik dah balik?”

Mak jawab, “Belum. Patutnya dah balik. Basikal adik rosak kot. Kejap lagi kalau tak balik juga jom kita pergi cari Adik.”

Mak jawab soalan ayah penuh yakin. Tiap-tiap hari ayah tanya soalan yang sama. Mak jawab penuh perhatian. Mak ambil berat di mana anak-anak Mak dan bagaimana keadaan anak-anak Mak setiap masa dan setiap ketika.

Dua puluh tahun kemudian

Jam 6.30 petang

Ayah balik ke rumah. Baju ayah basah. Hujan turun sejak tengahari.

Ayah tanya Along, “Mana Mak?”

Along sedang membelek-belek baju barunya. Along jawab, “Tak tahu.”

Ayah tanya Angah, “Mana Mak?”

Angah menonton tv. Angah jawab, “Mana Angah tahu.”

Ayah tanya Ateh, “Mana Mak?”

Ayah menunggu lama jawapan dari Ateh yang asyik membaca majalah.

Ayah tanya Ateh lagi, "Mana Mak?" Ateh menjawab, “Entah.”

Ateh terus membaca majalah tanpa menoleh kepada Ayah.

Ayah tanya Alang, “Mana Mak?”

Alang tidak jawab. Alang hanya mengoncang bahu tanda tidak tahu.

Ayah tidak mahu tanya Kak Cik dan Adik yang sedang melayan facebook. Ayah tahu yang Ayah tidak akan dapat jawapan yang ayah mahu.

Tidak ada siapa tahu di mana Mak. Tidak ada siapa merasa ingin tahu di mana Mak. Mata dan hati anak-anak Mak tidak pada Mak. Hanya mata dan hati Ayah yang mencari-cari di mana Mak.

Tidak ada anak-anak Mak yang tahu setiap kali ayah bertanya, "Mana Mak?"

Tiba-tiba adik bungsu bersuara, “Mak ni dah senja-senja pun merayap lagi. Tak reti nak balik!!”

Tersentap hati Ayah mendengar kata-kata Adik.

Dulu anak-anak Mak akan berlari mendakap Mak apabila balik dari sekolah. Mereka akan tanya "Mana Mak?" apabila Mak tidak menunggu mereka di depan pintu.

Mereka akan tanya, "Mana Mak." Apabila dapat nomor 1 atau kaki melecet main bola di padang sekolah. Mak resah apabila anak-anak Mak lambat balik. Mak mahu tahu di mana semua anak-anaknya berada setiap waktu dan setiap ketika.

Sekarang anak-anak sudah besar. Sudah lama anak-anak Mak tidak bertanya 'Mana Mak?"

Semakin anak-anak Mak besar, soalan "Mana Mak?" semakin hilang dari bibir anak-anak Mak . Ayah berdiri di depan pintu menunggu Mak. Ayah resah menunggu Mak kerana sudah senja sebegini Mak masih belum balik. Ayah risau kerana sejak akhir-akhir ini Mak selalu mengadu sakit lutut.

Dari jauh kelihatan sosok Mak berjalan memakai payung yang sudah uzur. Besi-besi payung tercacak keluar dari kainnya. Hujan masih belum berhenti. Mak menjinjit dua bungkusan plastik. Sudah kebiasaan bagi Mak, Mak akan bawa sesuatu untuk anak-anak Mak apabila pulang dari berjalan.

Sampai di halaman rumah Mak berhenti di depan deretan kereta anak-anak Mak. Mak buangkan daun-daun yang mengotori kereta anak-anak Mak. Mak usap bahagian depan kereta Ateh perlahan-lahan. Mak rasakan seperti mengusap kepala Ateh waktu Ateh kecil. Mak senyum. Kedua bibir Mak diketap repat. Senyum tertahan, hanya Ayah yang faham. Sekarang Mak tidak dapat lagi merasa mengusap kepala anak-anak seperti masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka sudah besar. Mak takut anak Mak akan menepis tangan Mak kalau Mak lakukannya.

Lima buah kereta milik anak-anak Mak berdiri megah. Kereta Ateh paling gah. Mak tidak tahu pun apa kehebatan kereta Ateh itu. Mak cuma suka warnanya. Kereta warna merah bata, warna kesukaan Mak. Mak belum merasa naik kereta anak Mak yang ini.

Baju mak basah kena hujan. Ayah tutupkan payung mak. Mak bagi salam. Salam Mak tidak berjawab. Terketar-ketar lutut Mak melangkah anak tangga. Ayah pimpin Mak masuk ke rumah. Lutut Mak sakit lagi.

Mak letakkan bungkusan di atas meja. Sebungkus rebung dan sebungkus kueh koci pemberian Mak Uda untuk anak-anak Mak. Mak Uda tahu anak-anak Mak suka makan kueh koci dan Mak malu untuk meminta untuk bawa balik. Namun raut wajah Mak sudah cukup membuat Mak Uda faham.

Semasa menerima bungkusan kueh koci dari Mak Uda tadi, Mak sempat berkata kepada Mak Uda, "Wah berebutlah budak-budak tu nanti nampak kueh koci kamu ni."

Sekurang-kurangnya itulah bayangan Mak. Mak bayangkan anak-anak Mak sedang gembira menikmati kueh koci sebagimana masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka berebut dan Mak jadi hakim pembuat keputusan muktamat. Sering kali Mak akan beri bahagian Mak supaya anak-anak Mak puas makan. Bayangan itu sering singgah di kepala Mak.

Ayah suruh Mak tukar baju yang basah itu. Mak akur.

Selepas Mak tukar baju, Ayah iring Mak ke dapur. Mak ajak anak-anak Mak makan kueh koci. Tidak seorang pun yang menoleh kepada Mak. Mata dan hati anak-anak Mak sudah bukan pada Mak lagi.

Mak hanya tunduk, akur dengan keadaan.

Ayah tahu Mak sudah tidak boleh mengharapkan anak-anak melompat-lompat gembira dan berlari mendakapnya seperti dulu.

Ayah temankan Mak makan. Mak menyuap nasi perlahan-lahan, masih mengharapkan anak-anak Mak akan makan bersama. Setiap hari Mak berharap begitu. Hanya Ayah yang duduk bersama Mak di meja makan setiap malam.

Ayah tahu Mak penat sebab berjalan jauh. Siang tadi Mak pergi ke rumah Mak Uda di kampung seberang untuk mencari rebung. Mak hendak masak rebung masak lemak cili api dengan ikan masin kesukaan anak-anak Mak.

Ayah tanya Mak kenapa Mak tidak telepon suruh anak-anak jemput. Mak jawab, "Saya dah suruh Uda telepon budak-budak ni tadi. Tapi Uda kata semua tak berangkat."

Mak minta Mak Uda telefon anak-anak yang Mak tidak boleh berjalan balik sebab hujan. Lutut Mak akan sakit kalau sejuk. Ada sedikit harapan di hati Mak agar salah seorang anak Mak akan menjemput Mak dengan kereta. Mak teringin kalau Ateh yang datang menjemput Mak dengan kereta barunya. Tidak ada siapa yang datang jemput Mak.

Mak tahu anak-anak mak tidak sedar telepon berbunyi. Mak ingat kata-kata ayah, “Kita tak usah susahkan anak-anak. Selagi kita mampu kita buat saja sendiri apa-apa pun. Mereka ada kehidupan masing-masing. Tak payah sedih-sedih. Maafkan sajalah anak-anak kita. Tak apalah kalau tak merasa menaiki kereta mereka sekarang. Nanti kalau kita mati kita masih ada peluang merasa anak-anak mengangkat kita kat bahu mereka.” Mak faham buah hati Mak semua sudah besar. Along dan Angah sudah beristeri. Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik masing-masing sudah punya buah hati sendiri yang sudah mengambil tempat Mak di hati anak-anak Mak.

Pada suapan terakhir, setitik air mata Mak jatuh ke pinggan.

Kueh koci masih belum diusik oleh anak-anak Mak.

Beberapa tahun kemudian

Mak Uda tanya Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik, “Mana mak?”.

Hanya Adik yang jawab, “Mak dah tak ada.”

Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik tidak sempat melihat Mak waktu Mak sakit.

Kini Mak sudah berada di sisi Tuhannya bukan di sisi anak-anak Mak lagi.

Dalam isakan tangis, Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik menerpa kubur Mak. Hanya batu nisan yang berdiri terpacak. Batu nisan Mak tidak boleh bersuara. Batu nisan tidak ada tangan macam tangan Mak yang selalu memeluk erat anak-anaknya apabila anak-anak datang menerpa Mak semasa anak-anak Mak kecil dulu.

Mak pergi semasa Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik berada jauh di bandar. Kata Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik mereka tidak dengar handphone berbunyi semasa ayah telepon untuk beritahu mak sakit tenat.

Mak faham, mata dan telinga anak-anak Mak adalah untuk orang lain bukan untuk Mak.

Hati anak-anak Mak bukan milik Mak lagi. Hanya hati Mak yang tidak pernah diberikan kepada sesiapa, hanya untuk anak-anak Mak..

Mak tidak sempat merasa diangkat di atas bahu anak-anak Mak. Hanya bahu ayah yang sempat mengangkat jenazah Mak dalam hujan renyai.

Ayah sedih sebab tiada lagi suara Mak yang akan menjawab soalan Ayah,

"Mana Along?" , "Mana Angah?", "Mana Ateh?", "Mana Alang?", "Mana Kak Cik?" atau "Mana Adik?". Hanya Mak saja yang rajin menjawab soalan ayah itu dan jawapan Mak memang tidak pernah silap. Mak sentiasa yakin dengan jawapannya sebab mak ambil tahu di mana anak-anaknya berada pada setiap waktu dan setiap ketika. Anak-anak Mak sentiasa di hati Mak tetapi hati anak-anak Mak ada orang lain yang mengisinya.

Ayah sedih. Di tepi kubur Mak, Ayah bermonolog sendiri, "Mulai hari ini tidak perlu bertanya lagi kepada Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik , "Mana mak?" "

Kereta merah Ateh bergerak perlahan membawa Ayah pulang. Along, Angah, Alang dan Adik mengikut dari belakang. Hati ayah hancur teringat hajat Mak untuk naik kereta merah Ateh tidak kesampaian. Ayah terbayang kata-kata Mak malam itu, "Cantiknya kereta Ateh, kan Bang? Besok-besok Ateh bawalah kita jalan-jalan kat Kuala Lumpur tu. Saya akan buat kueh koci buat bekal."

"Ayah, ayah....bangun." Suara Ateh memanggil ayah. Ayah pengsan sewaktu turun dari kereta Ateh..

Terketar-ketar ayah bersuara, "Mana Mak?"

Ayah tidak mampu berhenti menanya soalan itu. Sudah 10 tahun Mak pergi namun soalan "Mana Mak?" masih sering keluar dari mulut Ayah sehingga ke akhir usia.

Sebuah cerita pendek buat tatapan anak-anak yang kadang-kadang lupa persaan ibu. Kata orang hidup seorang ibu waktu muda dilambung resah, apabila tua dilambung rasa. Kata Rasulullah saw. ibu 3 kali lebih utama dari ayah. Bayangkanlah berapa kali ibu lebih utama dari isteri, pekerjaan dan anak-anak sebenarnya. Solat sunat pun Allah suruh berhenti apabila ibu memanggil. Berapa kerapkah kita membiarkan deringan telepon panggilan dari ibu tanpa berjawab?

12/01/13

KERANA DIA SEORANG AYAH




KERANA DIA SEORANG AYAH [Kisah Benar sebagai pengajaran dan pedoman buat kalian]

Ada seorang bapa datang ke kedai, melihat-lihat seperti pelanggan lain. Aku menerjahnya, "Pakcik, laptop..." - dia tersenyum dan masih melihat-lihat laptop yang ada di kedai. Aku menyambung lagi, "Nak beli untuk anak ke?", "Ya, nak beli untuk anak - dia nak sambung belajar - laptop yang mana yang ok?". Aku mempromosi barang seperti biasa - aku biasanya mengsyorkan yang paling murah. "Kalau nak yang bagus mahal pakcik - tapi kalau setakat nak buat belajar yang nie lah, Samsung - seribu seratus lebih je...". Dalam aku bercakap dengan dia, dia banyak diam dan seperti berfikir. Sedikit lama dia terdiam, dia membuka mulut "Nanti saya datang balik ya, duit tak berapa nak ada lagi ni..." - pergi dengan suatu perasaan yang lain.

Aku dengan rutinku berkerja setiap hujung minggu sahaja, kebetulan - aku duduk di kaunter menunggu pelanggan - dia datang semula ke kedai, tapi dengan anaknya - perempuan. "Yang mana ya yang haritu, ada lagi tak?", "Yang nie Samsung haritu, tapi yang nie stok baru - harga sama je", aku menyambut soalan nya. Dia bertanya kepada anaknya, "Yang nie ok ke dik?" - "Ermmm, ok ke nie murah je - karang rosak karang susah..." jawabnya dengan muka yang kurang puas hati - anaknya seperti menginginkan yang lain yang lebih mahal. "Yang acer nie x boleh ke ayah?", ayahnya terdiam seketika dan menyambut dengan negosiasi, "Yang acer nie berapa boleh murah lagi?" - "Yang tu tak dapat dah pakcik,... Dah harga kos dah tu..." aku dengan rasa geram namun masih dalam nada yang baik menyambung lagi, "Dik, nak laptop untuk belajar kan... Rasanya kalau untuk belajar - yang nie lebih dari cukup - rosak tak payah pikir sangat - warenti setahun.". Aku mengeluarkan kata-kata tersebut atas dasar aku seperti mengerti kerut wajah bapanya.

"Oklah, yang ini." jawab anaknya. Sedang aku menulis resit dan membungkus laptop dari meja 'display' - aku terpandang bapanya yang mengira duit untuk membayar - aku nampak dompetnya kosong - habis semua duit digunakan untuk membayar laptop. Dia menyerahkan duit kepadaku dan aku mengiranya semula - dia melihat tanganku yang mengira. Habis aku mengira - wang aku masukkan dalam cash drawer, "Cukup duit tadi dik?" - "Cukup, Terima Kasih ya...". Dia dan anaknya meninggalkan kedai. Aku hanya menahan airmata mengira duit yang diberikan - RM1, RM5, RM10 dan hanya sekeping RM50. Aku membayangkan dari mana si ayah mencari duit untuk membeli sebuah laptop untuk anaknya - penuh harapan.

Aku geram kepada anaknya - seperti dia tidak tahu ayahnya bagaimana - hanya tahu minta. Aku tahu ayahnya tiada duit, dia dah sebut awal-awal pada aku, aku nampak airmukanya, aku perhati sekeping-sekeping duit yang diserahkan. Aku tahu dia tiada duit pulang ke rumah dan perlu 'mengais' untuk hari esoknya.

Ya Allah, ampunilah segala dosaku, dan (dosa) kedua ibubapaku, dan rahmatilah keduanya sepertimana mereka mendidikku pada waktu kecil. Amin...

8 Perkara yang menentukan bahagia atau derita didalam Kubur....



8 Perkara yang menentukan bahagia atau derita didalam Kubur....

Abu-Laits berkata: “Siapa yang ingin selamat dari siksaan kubur maka harus menlazimi empat dan meninggalkan empat iaitu:

➊ Menjaga solat lima waktu
➋ Banyak bersedekah
➌ Banyak membaca al-Quran
➍ Memperbanyak bertasbih

☛(membaca: Subhanallah walhamdulillah wal’aa ilaha illallah wallahu akbar, walahaula wala quwata illa billah)

Semua yang empat ini dapat menerangi kubur dan meluaskannya. Adapun empat yang harus ditinggalkan ialah:

➊ Berbohong
➋ Khianat
➌ Adu-domba
➍ Menjaga kencing, sebab Nabi Muhammad S.A.W pernah bersabda: “Bersihkanlah kamu daripada air kencing, sebab umumnya siksa kubur itu berpunca daripada air kencing. ☛(Maksudnya hendaklah dicuci kemaluan sebersih-bersihnya selepas membuang air kecil.)

7/01/13

MENANGIS KERANA ALLAH




Daripada Ibnu Abbas r.anhuma katanya, aku telah mendengar Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda;“Dua (jenis) mata yang tidak akan disentuh oleh api neraka: Mata yang menangis akibat ketakutan kepada Allah dan mata yang tidak tidur berjaga di jalan Allah.” (At-Tirmizi). Dalam satu hadith yang lain: “Wajah yang dibasahi oleh air mata kerana takutkan Allah s.w.t.., walau bagaimana sedikit pun air mata itu, terselamat dari api neraka.”Bukan sahaja wajah yang terselamat, tetapi seluruh badannya dan orang itu ialah ahli syurga. Airmata memberi syafaat kepada tuannya di hari kiamat dengan izin Allah.
Menangislah kerana Allah. Pelepah tamar dan buraq pun menangis. Pelepah tamar menangis kerana Nabi tidak lagi menggunakan sebagai mimbar masjid, akhirnya dimasukkan ke dalam syurga. Bura’ menangis kerana takut nabi tak pilih dia jadi tunggangan.
Pelepah tamar menangis
Jabir RA meriwayatkan seperti disebutkan dalam hadith Bukhari, “Nabi SAW selalu bersandar pada sebatang pohon tamar, ketika menyampaikan khutbah Jumat, Sayyidina Abu Bakar mencadangkan agar dibina mimbar yang baru. Nabi SAW bersetuju dan sebuah mimbar yang terdiri dari 3 anak tangga dibangun.
Ketika Nabi SAW duduk di atas mimbar yang baru untuk berkhutbah, para Sahabat mendengar pelepah tamar itu menangis seperti anak kecil. Nabi SAW mendekati pelepah kurma yang sedang menangis ini dan bertanya kenapa ia menangis. Pelepah tamar tersebut mengatakania menangis kerana ia tidak digunakan lagi untuk mengingat Allah SWT.Rasulullah saw kemudian menyuruh agar dikafankan pelepah tamar dan mengatakan bahawa ia akan dibangkitkan di dalam syurga. Inilah satu-satunya pokok tamar di syurga yang berasal dari dunia.
Buraq menangis
Semasa peristiwa Israk Mikraj, Allah swt menyuruh Malaikat Jibrail memilih seekor Buraq untuk dijadikan tunggangan Baginda naik ke langit. Kemudian Jibrail A.S. pun pergi dan dia melihat 40,000 buraq sedang bersenang-lenang di Jannatu Adnin (taman Syurga) dan di wajah masing-masing terdapat nama Muhammad. Jibril bertanya kepada Allah, buraq manakah yang harus dipilih kerana semuanya elok, maka Allah menyuruhnya memilih Buraq yang menangis.
Di antara 40,000 buraq itu, Jibrail A.S. terpandang pada seekor buraq yang sedang menangis bercucuran air matanya. Jibrail A.S. menghampiri buraq itu lalu bertanya, “Mengapa engkau menangis, ya buraq? “Berkata buraq, “Ya Jibrail, sesungguhnya aku telah mendengar nama Muhammad sejak 40 tahun, maka pemilik nama itu telah tertanam dalam hatiku dan aku sesudah itu menjadi rindu kepadanya dan aku tidak mahu makan dan minum lagi. Aku laksana dibakar oleh api kerinduan.”Berkata Jibrail A.S., “Aku akan menyampaikan engkau kepada orang yang engkau rindukan itu.” Kemudian Jibrail A.S. memakaikan pelana dan kekang kepada buraq itu dan membawanya kepada Nabi Muhammad S.A.W. Buraq yang diceritakan inilah yang membawa Rasulullah S.A.W dalam perjalanan Israk dan Mikraj.
Para Nabi dan umatnya juga menangis
Nabi Adam adalah nabi yang paling banyak menangis, beratus-ratus tahun lamanya setelah dikeluarkan dari syurga. Nabi Yaakob juga menangis selama 80 tahun setelah kehilangan anaknya, Nabi Yusuf. Selain itu, umat Nabi Muhammad juga menangi seperti para wali iaitu Hassan Al-Basri dan Ali Zainal Abidin, anak kepada Sayyidina Hussin.

Ulasan Admin
berapa kali seumur hidup kita airmata kita mengalir kerana ALLAH, dan berapa kali
airmata kita mengalir kerana makhluk.

Fahamilah konsep menutup AURAT




Menutup aurat merupakan kewajipan agama yang sudahpun diketahui umum umat Islam. Tuntutan menutup aurat itu sabit berdasarkan dalil-dalil daripada al-Qur'an, hadits dan kesepakatan para ulama. Akan tetapi ramai umat Islam yang mengabaikan dan bersifat acuh tak acuh akan tuntutan dan kewajipan menutup aurat ini, baik lelaki mahupun perempuan. Apa yang menyedihkan ialah cara atau trend berpakaian segolongan individu, khususnya perempuan, tidak menepati dengan apa yang digariskan oleh syara‘. Pakaian yang mereka pakai bukan untuk menutup aurat, sebaliknya hanya menampal sebagai perhiasan semata-mata agar dipandang cantik dan bergaya. Lebih mengecewakan lagi, anggapan sesetengah individu itu bahawa memadai apabila dia memakai tudung sahaja, maka sudah bermakna dia menutup aurat. Sedangkan pakaian yang dipakai nyata masih tidak menepati tuntutan menutup aurat sebagaimana yang dikehendaki oleh syara‘, seperti memakai seluar yang ketat atau pakaian pendek, nipis (jarang) dan kain berbelah, sama ada mereka sedari ataupun tidak bahawa pakaian yang mereka pakai itu adalah mengghairahkan. Bahkan cara bertudung pun masih menampakkan anggota aurat yang wajib ditutup atau disembunyikan. Ada pula yang memakai pakaian yang lengkap menutup aurat pada waktu-waktu tertentu sahaja, seperti ketika menghadiri majlis-majlis keagamaan dan kedukaan seperti kematian, tetapi tidak pada waktu-waktu lain. Sikap sebahagian wanita-wanita muslimah seumpama ini menunjukkan bahawa mereka belum memahami maksud sebenar menutup aurat itu dan bagaimana cara melaksanakannya sebagaimana yang dituntut oleh syara‘. 

Admin ~ Jadi sahabat-sahabat sekelian. lakukanlah apa jua amalan atau perbuatan kita berlandaskan "TAQWA"... insyaallah dengan adanya Taqwa, nilai-nilai serta garis panduan agama kita akan pergunakan dalam kehidupan seharian.






Harta Berharga Bagi Seorang Isteri

Bagi seorang wanita, harta yang paling berharga di dalam hidup ini adalah seorang suami yang soleh. Kepadanyalah, seorang isteri akan merasakan kebahagian di dalam hidupnya dan di Akhirat kelak. Keberuntungan yang akan diterima seorang isteri, jika dia menyakini hidupnya, memberikan segala cinta, perhatian, dan kasih sayangnya kepada suami yang soleh. Kerana pada diri si suamilah, seorang isteri akan mendapatkan apa yang didambanya; Ketenangan, keteduhan, kedamaian, perlindungan dan cinta serta sayang.
Suami yang soleh adalah seorang yang dapat membahagiakan isteri dan anaknya, serta keluarganya baik di dunia ini ataupun di Akhirat kelak. Seorang suami yang soleh tidak akan memberi makan isteri dan anak-anaknya kecuali dengan harta yang halal.
Seorang suami yang soleh adalah seorang suami yang mampu menjaga amanah yang diberikan kepadanya. Dan isteri adalah amanah yang diberikan kepada seorang lelaki yang menjadi suaminya.
Suami yang soleh adalah seorang suami yang mampu memperlakukan isteri dan anaknya dengan sifat-sifat yang terpuji, seorang suami yang soleh akan selalu memperlakukan isterinya dengan sabar; sabar dengan setiap kesalahan-kesalahan isterinya, dan memperlakukan isterinya dengan kelembutan dan penuh maaf saat isteri dipenuhi dengan emosi dan kemarahan.
Suami yang soleh adalah suami yang mampu menjadi pemimpin di dalam rumah tangganya. Seorang suami bagaikan pemerintah di dalam rumah tangganya, seorang suami yang soleh adalah yang mampu memperhatikan hak dan kepentingan rakyatnya di dalam pemerintahan yang dipimpinnya, iaitu isterinya.
Seorang suami yang soleh akan selalu mampu bersikap bijaksana di dalam tindakannya, menghargai pendapat isterinya, dan jika terjadi perbezaan pendapat dengan isterinya, dengan sikap terpuji dan penuh cinta kasih menghargai pendapat sang isteri, serta mencari titik temu bersama dalam kerangka yang diperintahkan oleh Allah dan mejauhi segala yang dilarang oleh Allah.
Seorang suami yang soleh akan selalu mampu menjadi teladan terpuji buat isteri dan anak-anaknya. Mampu menumbuhkan kebiasaan-kebiasaan yang baik, dan mendidik diri, isteri, dan anak-anaknya untuk menapak di jalan-jalan yang menuju keredhaan Allah.
Seorang suami yang soleh adalah seorang suami yang mampu membuat dirinya, isterinya dan anak-anaknya mencintai ilmu, menguasai ilmu dan mampu mengamalkannya, menjadikan ilmu yang diperolehnya itu bermanfaat bagi bangsa, negara, dan agamanya.
Seorang suami yang soleh adalah seorang suami yang mampu membuat isterinya dan anak-anaknya tumbuh, dan berkembang menjadi peribadi yang luar biasa serta menapak tangga-tangga kejayaan di dunia ini dan Akhirat kelak.
Seorang suami yang soleh adalah seorang suami yang akan selalu menjaga isteri dan anaknya dari api neraka…

Kehidupan Zuhud Nabi Muhammad S.A.W


Suatu ketika Rasulullah SAW bersumpah akan berpisah dengan isteri-isterinya selama satu bulan, sebagai peringatan bagi mereka kerana kurang biasa mengikuti kehidupan beliau yang zuhud. Selama sebulan beliau tinggal seorang diri dalam sebuah kamar sederhana yang letaknya agak tinggi. Terdengar kabar di kalangan para sahabat bahwa Nabi SAW telah menceraikan semua isterinya. Ketika Umar bin Khatab mendengar kabar ini, segera ia berlari ke masjid. Setiba di sana, ia melihat para sahabat sedang duduk termenung, mereka bersedih dan menangis. Juga kaum wanita, mereka menangis di rumah-rumah mereka. Kemudian Umar pergi menemui putrinya, Hafshah, yang telah dinikahi oleh Rasulullah SAW. Umar pun mendapati Hafshah sedang menangis di kamarnya. Dia kemudian bertanya kepada Hafshah, “Mengapa engkau menangis? Bukankah selama ini aku telah melarangmu agar tidak melakukan sesuatu yang dapat menyinggung perasaan Rasulullah SAW?” Hafshah tak menjawab apa-apa, dia terus menangis. Umar lalu kembali ke masjid, terlihat olehnya beberapa orang sahabat sedang menangis di mimbar. Kemudian dia duduk bersama para sahabat, lalu berjalan ke arah kamar Nabi Muhammad SAW, yang terletak di tingkat atas masjid. Umar mendapati Rabah, sahabat yang selalu mengikuti Rasulullah, dan dia meminta kepada Rabah agar memohonkan izin kepada Rasulullah untuk menemuinya. Rabah menghadap Nabi SAW, kemudian kembali dan memberitahukan bahwa dia telah menyampaikan permohonan izin Umar, namun Nabi SAW hanya diam. Permintaan untuk menjumpai Nabi SAW diulang beberapa kali, hingga ketiga kalinya barulah Nabi Muhammad SAW mengizinkan Umar untuk naik menghadapnya. Ketika masuk, Umar melihat Nabi SAW tengah berbaring di atas sehelai tikar yang terbuat dari pelepah daun kurma, sehingga pada badan Nabi SAW yang putih bersih itu terlihat jelas bekas-bekas guratan daun kurma. Di tempat kepala beliau ada sebuah bantal yang terbuat dari kulit binatang yang dipenuhi daun dan kulit pohon kurma. Selepas mengucapkan salam kepada beliau, Umar kemudian bertanya,” Apakah Tuan telah menceraikan isteri-isteri Tuan, ya Rasulullah?” Nabi SAW menjawab, ‘Tidak.” Umar sedikit lega, lalu dia mengatakan,”Ya Rasulullah, kita adalah kaum Quraisy yang selamanya telah menguasai wanita-wanita kita. Tetapi setelah kita hijrah ke Madinah, keadaannya sungguh berbeza dengan orang-orang Ansar. Mereka telah dikuasai wanita-wanita mereka sehingga wanita-wanita kita terpengaruh dengan kebiasaan kaum Ansar.” Nabi SAW tersenyum mendengar perkataan Umar. Umar pun Menangis. Umar lalu memperhatikan keadaan kamar Nabi SAW. Terlihat tiga lembar kulit binatang yang telah disamak dan sedikit gandum di sudut kamar itu, selain itu tidak terdapat apa pun. Umar menangis sesenggukan melihat keadaan Nabi yang seperti itu. Tiba-tiba Rasulullah SAW bertanya kepada Umar, “Mengapa engkau menangis, wahai Umar?” “Bagaimana saya tidak menangis, ya Rasulullah. Saya sedih melihat bekas tanda tikar di badan Tuan yang mulia dan saya prihatin melihat keadaan kamar ini. Semoga Allah SWT mengkaruniakan kepada tuan bekal yang lebih banyak. Orang-orang Parsi dan Romawi yang tidak beragama dan tidak menyembah Allah, tetapi raja mereka hidup mewah. Mereka hidup dikelilingi taman yang di tengahnya mengalir sungai, sedangkan engkau adalah Rasul Allah, tetapi engkau hidup dalam keadaan sangat miskin,” kata Umar bin Khaththab. Mendengar jawaban Umar, Rasulullah SAW bangun dan berkata, “Wahai Umar, sepertinya engkau masih ragu mengenai hal ini. Dengarlah, kenikmatan di alam akhirat tentu akan lebih baik daripada kesenangan hidup dan kemewahan di dunia ini. Jika orang-orang kafir itu dapat hidup mewah di dunia ini, kita pun akan memperoleh segala kenikmatan tersebut di akhirat nanti. Di sana kita akan mendapatkan segala-galanya.” Kata-kata Nabi “Jika orang-orang kafir itu dapat hidup mewah di dunia ini, kita pun akan memperoleh segala kenikmatan tersebut di akhirat nanti” tentu tidak dimaksudkan untuk mengatakan bahawa keadaan di akhirat, dalam hal ini di syurga, sama dengan “kenikmatan tersebut”. Kerana, dalam sebuah hadis dikatakan, kenikmatan di syurga itu sungguh luar biasa, belum pernah kita lihat dan kita dengar sebelumnya, bahkan kita bayangkan saja belum. Mendengar sabda Nabi, Umar merasa menyesal. Lalu dia berkata, “Ya Rasulullah, mohonlah kepada Allah SWT untuk saya. Saya telah bersalah dalam hal ini.” Rasulullah SAW membesarkan hati sahabatnya itu. Umar pun merasa lega. Kehidupan beliau yang zuhud itu pun menjadi salah satu keutamaan beliau yang sebelumnya sering disalah ertikan oleh para isterinya. Dan setelah kejadian itu, Rasulullah menasihati para isterinya akan kepastian janji-janji Allah SWT di yaumul akhir. Para isteri itu pun akhrinya menyesali perilaku mereka dan memperbaharui kesetiaan mereka kepada Rasulullah SAW bahawa, apa pun yang terjadi, mereka semua memilih ikut Rasulullah SAW, termasuk untuk hidup zuhud.

KETEGASAN KHALIFAH UMAR AL-KHATTAB


Umar al-Khattab begitu tegas dan ketat dalam urusan kewangan negara, beliau juga amat ketat dalam meneliti pendapatan dan harta setiap gabenor dan pegawainya. Setiap pegawai yang dilantik akan diminta melakukan deklarasi harta, dan peningkatan hartanya akan disemak dengan begitu kerap. Jika peningkatan berlaku, Umar r.a akan mengambil separuh untuk baitul Mal dan dalam beberapa keadaan Umar r.a mengambil semuanya. Selain itu, Umar r.a turt melakukan lawatan mengejut ke ruamh pegawainya bagi memastikan tiada pertambahan harta secara syubhah. Berikut beberapa kisah prihatinnya Umar r.a r.a :- • Gabenor kerajaan Islam di Mesir pada ketika itu adalah seorang sahabat bernama ‘Amr bin Al-‘As. Beliau dilaporkan membuat satu mimbar khas untuk dirinya di Mesir. Ini menyebabkan Umar al-Khattab menjadi marah lalu menghantar surat kepada ‘Amru yang menyebut "Aku mendengar kamu telah membina satu mimbar agar boleh meninggikan dirimu dari umat Islam, adakah tidak cukup kamu berdiri dan mereka berada di kakimu, aku ingin kamu segera meruntuhkan mimbarmu". • Dalam satu keadaan lain, Sa'ad juga dilaporkan membina pagar di sekitar rumahnya ( di ketika itu amat jangkal rumah mempunyai pagar kecuali terlalu kaya), sehingga orang ramai menggelarkannya "ISTANA SA'AD". Dinyatakan bahawa Sa'ad membina agar itu kerana rumahnya berhampiran degan pasar dan amat bising, lalu dibinanya agar dapat menghalang sedikit kebisingan. Apabila berita sampai kepada Umar al-Khattab, beliau melihat mudarat pagar itu lebih besar dari manfaatnya, lalu dengan segera menghantar Muhammad bin Maslamah untuk membakar pagar tersebut. • Umar r.a telah melantik Mujasha' bin Mas'od untuk beberapa tugasan, dan kemudiannya mendapat laporan isteri Mujasha' bernama al-Khudayra kerap membeli perabot baru dan hiasan dinding. Lalu Umar r.a menghantar surat kepada Mujasha' agar mengoyakkan semua hiasan dinding. Mujasha' menerima surat itu ketika bersama orang ramai, lalu dengan segera beliau mengarahkan isteri keluar lalu diminta orang ramai masuk ke rumah dan membantu mengoyak dan menurunkan semua hiasan dinding baru yang dibeli isterinya. Sebenarnya, Umar r.a tahu ia dibeli dengan harta syubhah akibat jawatan Mujasha', kerana itu diarahkan sedemikian. Anda juga boleh melihat betapa kuatnya taat dan yakinnya para pegawai dengan keikhlasan dan kejujuran Umar r.a. • Umar r.a pernah melawat pegawai-pegawainya di Syria, dan kemudian Yazid Bin Abi Sufyan menjemputnya datang ke rumah, ketika Umar r.a memasuki rumah lalu dilihatnya penuh dengan hiasan dinding bergantungan. Umar r.a mula mengambilnya sambil berkata "barang-barang ini boleh digunakan oleh rakyat jelata untuk melindungi diri mereka dari kesejukan dan kepanasan" • Umar r.a juga pernah mengambil beberapa bahagian harta adik beradik gabenornya dan pegawainya apabila hasil penyelidikannya mendapati keraguan. Contohnya seperti beliau mengambil sebahgian dari harta Abu Bakrah. Namun Abu Bakrah cuba membantah dengan mengatakan "aku tidak pernah berkhidmat denganmu (sebagai pegawai kerajaan)" Umar r.a menjawab "Ya benar, tetapi adikmu berkhidmat sebagai penyelia Baitul Mal, dan dia telah memberikan beberapa pinjaman kepadamu agar kamu boleh berniaga dengannya" Kesimpulannya, semua tindakan Umar r.a ini tidaklah diambil secara sembarangan, kisah ini hanyalah ringkasan sahaja, dan tindakan beliau semua bagi mengelakkan jawatan di jadikan PELUANG UNTUK MERAUT KEKAYAAN. Adakah ini berlaku kepada pemimpin kita sekarang? Semuanya sudah terjawab dan diketahui kita sekian lamanya. Tuhan yang maha berkuasa telah memberikan kita akal dan fikiran untuk menilai pemimpin yang sebagaimana untuk kita tentukan….






Kisah Umar Al-Khattab di akhir hayatnya

Pada 23 Zulhijjah tahun 23 Hijrah Umar al Khattab dibunuh oleh Abu Lu’lu’ dalam masjid ketika menjadi imam sembahyang subuh. Setelah menikamnya sebanyak 6 kali maka Abu Lu’lu’ cuba melarikan diri namun dihadang oleh ahli jemaah yang berada dibelakang Umar al Khattab. Abu Lu’lu’ yang bersenjatakan pisau bermata dua sempat menikam 13 orang sebelum membunuh diri. Dalam keadaan luka parah dan menahan kesakitan Umar al Khattab menyuruh Abdul Rahman Auf menjadi imam sembahyang. Selesai sembahyang baru mereka mendapatkan Umar al Khattab yang sedang terbaring berlumuran darah. “Siapa yang menikamku?” tanya Umar al Khattab. “Abu Lu’lu’ hamba Mughirah Syu’bah,” jawab Abdullah. “Syukur kepada Allah kerana aku tidak dibunuh orang Islam,” ujar Umar al Khattab. Datang seorang tabib cuba memberikan rawatan. Kemudian diberinya minum tetapi minuman itu keluar dari perutnya yang luka. “Wahai Amirul Mukminin, sudah tiba masanya,” kata tabib itu. Orang ramai menangis tetapi ditegah oleh Umar dengan berkata. “Jangan kamu menangis. Nabi bersabda orang yang mati terazab dengan tangisan keluarganya.” Kemudian Umar al Khattab memanggil anaknya Abdullah supaya menemui Aisyah isteri Rasulullah saw mohon kebenaran disemadikan bersebelahan dengan kubur baginda. Aisyah membenarkan dengan berkata . “Sebelum ini aku telah menyimpan tempat itu untuk aku tetapi hari ini aku menyerahkannya kepada Umar.” “Wahai Amirul Mukminin, apakah tuan akan melantik Abdullah bin Umar sebagai pengganti?” tanya Al Mughirah. “Demi Allah, aku haramkan keluarga dari jawatan ini…” jawab Umar al Khattab. Kemudian Umar al Khattab menamakan 6 orang sebagai calun khalifah mereka ialah Uthman Affan, Ali bin Abi Talib, Talhah bin Ubaidillah, Zubair bin Awwam, Abdul Rahman bin Auf dan Sa’ad bin Abi Waqas. Mereka akan dipilih oleh ahli majlis syura. Kemudian Umar al Khattab memberi wasiat kepada anaknya Abdullah bahawa beliau mempunyai hutang sebanyak 8 ribu dirham. “Jual semua hartaku untuk membayarnya. Jika tidak cukup kamu yang membayarkannya.” Ali bin Abi Talib memandi dan mengkafankan Umar al Khattab. Kemudian beliau berkata. “Demi Allah, orang yang diselubungi kain kafan ini begitu cinta untuk menemui tuhannya.” Jenazah Umar al Khattab disembahyangkan di masjid dengan Suhaib menjadi imamnya. Kemudian disemadikan bersebelahan dengan kubur Rasulullah saw dan Abu Bakar as Siddiq. Orang yang turun ke liang lahad adalah Uthman Affan, Sa’id bin Zaid, Suhaib bin Sinan dan Abdullah bin Umar. Kubur tiga sahabat sejati itu sentiasa dikunjungi orang ramai hingga ke hari ini. Setelah menziarahi dan berdoa di makam Nabi Muhamad saw dan Abu Bakar teruslah berdoa untuk Umar al Khattab pula. “Salam sejahtera ke atasmu wahai yang menzahirkan Islam secara terang-terangan. Salam sejahtera ke atasmu wahai yang telah diberi gelaran al Faruq yang memisahkan antara yang benar dan salah, salam sejahtera ke atasmu yang sentiasa bercakap benar serta memelihara anak yatim dan menghubungkan kasih sayang dan engkaulah yang menjadikan agama Islam kuat dan gagah. Maka terima lah salam sejahtera serta rahmat dari Allah ke atasmu.”