20/03/12

Hadiah Malam Jumaat



Pengalaman Salih Al Mazi

Pada suatu malam bertepatan malam Jumaat Salih Al Mazi pergi ke masjid jamik untuk mengerjakan solat subuh. Kebiasaannya ia berangkat awal sebelum masuk waktu subuh dan melalui sebuah pekuburan. Di situ Salih duduk sekejap sambil membaca apa-apa yang boleh mendatangkan pahala bagi ahli kubur memandangkan waktu subuh masih lama lagi. Tiba-tiba dia tertidur dan bermimpi melihat ahli-ahli kubur keluar beramai-ramai dari kubur masing-masing.

Mereka duduk dalam kumpulan-kumpulan sambil berbual-bual sesama mereka. Al Mazy ternampak seorang pemuda ahli kubur memakai baju kotor serta tidak berkumpul dengan ahli-ahli kubur yang lain. Dia duduk seorang diri di tepi kuburnya dengan wajah murung, gelisah kerana sedih.

Tidak berapa lama kemudian datang malaikat membawa beberapa talam yang ditutup dengan saputangan. Seolah-olah seperti cahaya yang gemerlapan.

Malaikat mendatangi para ahli kubur dengan membawa talam-talam itu, tiap seorang mengambil satu talam dan dibawanya masuk ke dalam kuburnya.

Semua ahli kubur mendapat satu talam seorang sehingga tinggallah si pemuda yang kelihatan sedih itu seorang diri tidak mendapat apa-apa.

Dengan perasaan yang sedih dan duka dia bangun dan masuk semula ke dalam kuburnya.

Tapi sebelum dia masuk Al Mazy yang bermimpi segera menahannya untuk bertanyakan keadaannya. "Wahai hamba Allah ! Aku lihat engkau terlalu sedih mengapa?" tanya Salih Al Mazy. "Wahai Salih, adakah engkau lihat talam-talam yang dibawa masuk oleh malaikat sebentar tadi?" tanya pemuda itu. "Ya aku melihatnya. Tapi apa benda di dalam talam-talam itu ?" tanya Al Mazy lagi. Si pemuda menerangkan bahwa talam-talam itu berisi hadiah orang-orang yang masih hidup untuk orang-orang yang sudah mati yang terdiri dari pahala sedekah, bacaan ayat-ayat suci Al Quran dan doa. Hadiah-hadiah itu selalunya datang setiap malam Jumaat atau pada hari Jumaat. Si pemuda kemudian menerangkan tentang dirinya dengan panjang lebar.

Katanya dia ada seorang ibu yang masih hidup di alam dunia bahkan telah berkahwin dengan suami baru. Akibatnya dia lupa untuk bersedsekah untuk anaknya yang sudah meninggal dunia sehingga tidak ada lagi orang yang mengingati si pemuda. Maka sedihlah si pemuda setiap malam dan hari jumaat apabila melihat orang-orang lain menerima hadiah sedangkan dia seorang tidak menerimanya.

Al-Mazy sangat kasihan mendengarkan cerita si pemuda. lalu ia bertanya nama dan alamat ibunya ia dapat menyampaikan keadaan anaknya. Si pemuda menerangkan sifat2 ibunya. Kemudian Al Maizy terjaga. Pada sebelah paginya Al Maizy terus pergi mencari alamat ibu pemuda tersebut. Setelah mencari kesana kemari beliaupun berjumpa ibu sip pemuda tersebut lantas menceritakan perihal mimpinya.

Ibunya menangis mendengar keterangan Al maizy mengenai nasib anaknya yang merana di alam barzah. Kemudian ia berkata :"wahai salih ! Memang betul dia adalah anakku. Dialah belahan hatiku, dia keluar dari dalam perutku.

Dia membesar dengan minum susu dari dadaku dan ribaanku inilah tempat dia berbaring dan tidur ketika kecilnya." Al Maizy turut sedih melihat keadaan ibu yang meratap dan menangis penuh penyesalan kerna tidak ingat untuk mendoakan anaknya selama ini.

"Kalau begitu saya mohon minta diri dahulu." kata Al maizy lalu bangun meninggalkan wanita tersebut. Tatkala dia cuba untuk melangkah si ibu menahannya agar jangan pulang dahulu. Dia masuk kedalam biliknya lalu keluar dengan membawa wang sebanyak seribu dirham. "Wahai Salih, ambil wang ini dan sedekahkanlah untuk anakku, cahaya mataku. Insya Allah aku tidak akan melupakannya untuk berdoa dan bersedekah untukya selama aku masih hidup."

Salih Al Maizy mengambil wang itu disedekahkannya kepada fakir miskin sehingga tidak sesenpun dari seribu dirham itu yang tinggal. Dilakukannya semua itu sebagai memenuhi amanah yang diberi kepadanya oleh ibu pemuda tersebut.

Pada suatu malam Jumaat di belakang selepas itu, Al Maizy berangkat ke masjid jamik untuk solat jamaah. Dalam perjalanan sebagaimana biasa ia singgah di perkuburan. Di situlah ia terlena sekejap dan bermimpi melihat ahli-ahli kubur keluar dari kubur masing2. Si pemuda yang dulnya kelihatan sedih seorang diri kini keluar bersama-sama dengan memakai pakaian putih yang cantik serta mukanya kelihatan sangat gumbira. Pemuda tersebut mendekati Salih Al Maizy seraya berkata :

"Wahai tuan Salih, aku ucapkan terima kasih kepadamu. Semoga Allah membalas kebaikanmu itu.

" "Hadiah dari ibuku telah ku terima pada hari jumaat." katanya lagi. "Eh, Engkau boleh mengetahui hari Jumaat ?" tanya Al Maizy.

"Ya, Tahu." "Apa tandanya ?" "Jika burung-burung di udara berkicau dan berkata "Selamat selamat pada hari yang baik ini, yakni hari Jumaat."

Salih Al Maizy terjaga dari tidurnya. Ia cuba mengingati mimpinya dan merasa gumbira kerana sipemuda telah mendapat rahmat dari Allah disebabkan sedekah dan doa dari ibunya.

(Petikan kisah Wali-Wali Allah (2) terbitan syarikat Nurulhas).

Hadis : Dijauhkan Dari Neraka 70 000 Musim


Hadis :
Dari Abu Sa'id al-Khudri r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:"Setiap orang yang puasa satu hari kerana Allah, maka Allah akan menjauhkannya dari neraka sejauh 70 000 musim." (Muslim)

Huraian :
Dilihat secara terperinci, kita dapati orang yang berpuasa itu dapat dibahagikan kepada tiga golongan iaitu:
i) orang berpuasa kerana malu kepada Allah dan manusia.
ii) orang yang berpuasa kerana malu kepada manusia tetapi tidak malu kepada Allah.
iii) orang yang langsung tidak berpuasa kerana tidak malu kepada Allah dan manusia.

Orang yang berpuasa kerana malu kepada Allah dan manusia, puasa mereka adalah berdasarkan kepada perasaan sedar dan insaf kepada perintah Allah S.W.T yang mewajibkan berpuasa. Golongan ini akan sentiasa berhati-hati dan sentiasa menjaga puasanya daripada perkara yang boleh membatalkan puasa. Oleh kerana itu, di mana-mana tempat sekali pun, sama ada di tempat tersorok atau tidak, mereka tetap memelihara puasanya. Golongan ini sedar bahawa Allah tetap melihat perbuatan mereka walaupun mereka tidak dapat melihat Allah.

Tentang golongan kedua pula, mereka ini berpuasa semata-mata kerana malu kepada manusia tetapi tidak malu kepada Allah. Lantaran itu, apabila berada jauh daripada pandangan manusia, tanpa segan-silu mereka meninggalkan puasa. Golongan ini berpuasa bukan kerana taat dan patuh kepada perintah Allah tetapi kerana malu kepada manusia lain yang berpuasa. Biasanya orang yang seperti ini berpuasa kerana hendak menunjuk-nunjuk atau riak. Mereka tidak mempunyai sifat amanah kepada Allah mahupun pada diri sendiri.

Golongan ketiga ialah mereka yang langsung tidak berpuasa kerana tidak malu kepada manusia apatah lagi kepada Allah. Golongan ini dianggap paling hina di sisi Allah. Bahkan ada ketikanya mereka ini sanggup mengaku sebagai orang bukan Islam agar terlepas daripada hukuman dan tindakan pihak berkuasa. Mereka tidak sedar bahawa pengakuan itu boleh membatalkan syahadah.

Menyedari hakikat ini, renungkanlah. Dalam golongan manakah kita berada?

Hadis : 3 Buah Masjid

Hadis :
"Dari Abu Hurairah, r.a. dari Nabi s.a.w. sabdanya: "Tidak sepatutnya (bersusah payah) keluar belayar (untuk menziarahi mana-mana masjid kecuali (untuk pergi) ketiga-tiga masjid (yang berikut): Masjidil Haram (di Mekah), dan masjid Rasulullah s.a.w. (di Madinah) serta Masjid al-Aqsa (di Palestin)" (Bukhari)

Huraian :
1. Umat Islam yang ingin berziarah keluar (negara) untuk beribadat kepada Allah tidak perlu bersusah payah ketempat lain, selain dari berziarah ke tanah suci, terutama untuk mengerjakan ibadat haji dan umrah.

2. Tiga buah masjid yang mempunyai fadilat yang besar, apabila mengerjakan ibadat sembahyang di dalamnya ialah:
i. Masjidil Haram di Mekah
ii. Masjid Nabi di Madinah
iii Masjidil al-Aqsa di Palestin.

3 Diantara fadhilat-fadhilatnya ialah:
i) Kelebihan Masjidil haram ialah mereka yang bersembahyang di dalamnya akan mendapat seratus ribu (lebih afdhal dari) sembahyang di tempat lain dan di dalamnya terletak Kaabah yang menjadi kiblat umat Islam.
ii) Kelebihan Masjid Nabawi pula ialah mereka yang bersembahyang di dalamnya akan mendapat seribu (lebih afdhal dari) sembahyang di tempat lain, dan didalamnya ada makam Nabi s.a.w. Dan sebagai sebuah taman dari taman-taman syurga.
iii) Kelebihan Masjid al-Aqsa pula ialah mereka yang bersembahyang di dalamnya akan mendapat lima Ratus (lebih afdhal dari) sembahyang di tempat lain, dan keistimewaannya ialah ia adalah merupakan masjid para Nabi yang terdahulu dan tempat Israk dan Mikrajnya Nabi s.a.w.


Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Hadis

 Terima Undangan Dan Menerima Hadiah


Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksid: “Sekiranya aku dijemput menghadiri sesuatu majlis mahupun kecil atau besar nescaya aku menerima jemputan tersebut dan sekiranya aku dihadiahkan sesuatu barang yang bernilai atau tidak nescaya aku menerimanya juga” Riwayat Hadith Al-Bukhari

Huraian :
1. Dalam kehidupan bermasyarakat, kita hendaklah menjaga hati dan perasaan orang lain agar hubungan silaturahim sentiasa terjaga selain dapat menghindari perselisihan faham yang mengakibatkan perbalahan dan perpecahan.

2. Rasulullah s.a.w contohnya tidak pernah menolak sebarang pemberian atau hadiah dan baginda juga tetap menerima apa juga bentuk jemputan tanpa membeza-bezakannya sama ada kecil, besar, kaya, miskin atau sebagainya.

3. Orang yang memilih- milih jemputan bagi sesuatu jamuan atau hadiah yang diberikan kepadanya adalah mempamerkan sifat orang yang sombong dan bongkak sedangkan sifat ini adalah sangat dilarang di dalam Islam.

Jaga makan



Bismillah..
Assalamu’alaikum…
Sidang pendengar yang dimuliakan, ada tak sesiapa yang tak pernah makan makanan segera? Jarang kita jumpa orang yang mengaku tidak pernah makan makanan segera. Dalam tazkirah kali ini saya akan menyentuh tentang bab jaga makan. Makan ni antara perkara penting dalam hidup kita. Dari sudut psikologinya, makan ini adalah antara keperluan pertama dalam hidup keperluan-keperluan hidup manusia. Kalau tidak makan, manusia tak boleh hidup.
Dalam memperkatakan bab makan ini, agama kita telah menggariskan panduan-panduannya dengan lengkap. Secara umumnya, Allah s.w.t telah menyebutkan di dalam al-Quran:
2:168. Wahai sekalian manusia! makanlah dari apa Yang ada di bumi Yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana Sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh Yang terang nyata bagi kamu.

Allah Pencipta kita maha tahu keperluan dan keinginan kita. Sememangnya kita telah diciptakan dengan fitrah begitu. Manusia perlukan makanan untuk hidup, dan Allah s.w.t telah menciptakan pula makanan-makanan yang menjadi punca kelangsungan hidup kita. Ada bermacam-macam makanan yang dimakan manusia, tetapi Allah menyebutkan dalam firmannya “makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik..” maksudnya ada antara makanan itu tidak halal dan tidak baik. Islam melarang memakan benda-benda haram, yang kotor, bangkai, darah, daging babi, binatang tak disembelih, kecuali terpaksa.
Sebagai seorang Islam, menjaga makanan adalah antara perkara yang mesti kita utamakan. Makan menjadi ibadah jika kena gayanya. Alangkah untungnya dengan makan kita boleh mendapat pahala. Makan menjadi ibadah jika kita makan kerana Allah, untuk kita sihat, dapat beribadat dan bekerja mencari rezki yang halal. Makanan pula makanan yang halal, dari sumber yang halal. Makan pula dengan kadar sederhana, tidak berlebih-lebihan dan membazir-bazir. Untuk kesihatan juga, kita tidak perlu makan sehingga kenyang tersandar.
Sidang pendengar sekalian,

Dalam kita membincangkan makanan yang baik, tentu kita semua tahu makanan yang kita makan itu akan menjadi darah daging kita. Makanan yang baik dan berkhasiat akan menjadikan badan kita sihat dan dapat mengelakkan penyakit. Menjaga kesihatan badan adalah tuntutan dalam Islam. Umat Islam dilarang melakukan sesuatu yang boleh memudharatkan dirinya termasuklah memakan sesuatu yang boleh memudharatkan perutnya dan kesihatannya. Kesimpulannya, jika sesuatu makanan itu mengandungi bahan yang kita tidak pasti tahap keselamatannya, kita hendaklah mengelakkan mengambilnya. Apatah lagi sesuatu yang memang kita tahu boleh memudharatkan kesihatan, contohnya rokok.

2:172. Wahai orang-orang Yang beriman! makanlah dari benda-benda Yang baik (yang halal) Yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadaNya.
Cuba kita renung-renungkan, apakah semua yang masuk ke mulut kita ini terdiri dari benda-benda “toyyibaat” seperti yang disebutkan?
Allah telah menyebutkan dalam ayat yang lain bahawa yang dihalalkan bagi kita yang baik-baik dan diharamkan segala yang buruk. Maksudnya kalau sesuatu perkara itu diharamkan, tentulah ada keburukannya, samada kita tahu ataupun tidak.
Sidang pendengar sekalian,

Katalah kita memang telah memilih makanan yang baik, yang berkhasiat, dari sumber pendapatan yang halal, ingatlah ada satu lagi peringatan Allah s.w.t yang mesti juga kita ingat:
7:31…. dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; Sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang Yang melampaui batas.
Dalam ayat lain juga ada disebutkan bahawa membazir itu adalah amalah syaitan.
Sidang pendengar sekalian,
Semoga jelaslah kepada kita, Islam amat menitikberatkan bab penjagaan makanan. Islam mengajar umatnya memerhati apa yang hendak dimasukkan kemulutnya. Dari mulut turun ke perut. Makanan yang baik akan membawa kebaikan dan kesihatan, makanan yang tidak baik akan merosakkan tubuh badan dan membawa kemudharatan, kesakitan dan menjejaskan kehidupan.

Semoga kita semua bijak memilih makanan. Jauhilah makanan yang tidak bermanfaat kerana kita bukan hidup untuk makan tetapi kita makan untuk meneruskan hidup supaya dapat berbakti kepada agama, bangsa dan negara.
Sekian, semoga mendatangkan manfaat,
Wabillahi taufiq walhidayah, wassalamu alaikum

17/03/12

Hakim Amerika Pertahan Islam Di Mahkamah

,




Mungkin agak ganjil mendengar tajuk di atas . Semua orang tahu sikap Amerika terhadap Islam. Bagi Amerika,
Islam sering dikaitkan dengan keganasan. Namun ironinya semakin kuat Amerika menentang Islam dilaporkan semakin ramai rakyat di sana makin berminat dengan Islam.


Tragedi 911 telah menyebabkan perkembangan Islam di Amerika berlaku dengan agak pantas. Salah satu indikasi bagi perkara ini adalah selepas serangan 911 Al-Quran menjadi kitab yang paling laris dijual di beberapa wilayah di Amerika bagi tempoh yang agak lama .Minat rakyat Amerika dengan Al-Quran sehingga menyebabkan Penerbit buku yang terkenal , Penguin Books, yang telah menerbitkan Al-Quran dalam bahasa Inggeris melaporkan ia telah mencetak lebih dari 20,000 naskah AlQuran sejurus berlakunya tragedi 911.

Akhbar USA Today melaporkan di dalam artikel bertajuk “"People Want to Know, so Koran is Bestseller," penjualan naskah Al-Quran telah berganda 55 kali selepas 911. Apabila ditanya tentang perkara ini salah seorang sarjana barat yang amat bersimpati dengan Islam, John Esposito menyatakan “ kekuatan Al-Quran adalah mana-mana orang Islam atau sesiapa sahaja membuka mana-mana helaian Al-Quran akan mendapat mesej betapa Islam memandang tinggi tentang nyawa dan kehidupan manusia.”

Kes terbaru yang berlaku di sebuah Mahkamah di Pennsylvania, Amerika juga agak menarik minat saya untuk menulis artikel ini. Ia melibatkan seorang Islam , Talaag Elbayomy yang memukul seorang Atheist, Ernie Perce yang telah menghina Nabi Muhammad s.a.w . Ernie Perce telah memakai pakaian yang menunjukkan kononnya mayat Nabi Muhammad s.a.w. sedang bangun dan berjalan di dalam satu perarakan sempena menyambut hari Halloween. Perbuatan beliau telah mengakibatkan Talaag Elbayomy yang kebetulan bersama keluarganya menyaksikan perarakan tersebut merasa bahawa perbuatan Earnie Perce tersebut menghina Rasulullah s.a.w lalu memukul lelaki athiest tersebut.

Pegawai Polis yang bertugas di perarakan tersebut iaitu Brian Curtis berpendapat tindakan lelaki athies tersebut adalah termasuk di dalam kebebasan bersuara yang dijamin oleh Pindaan Pertama Perlembagan Amerika maka beliau telah menangkap lelaki Islam yang memukul lelaki Athies tersebut. Dipendekkan cerita akhirnya lelaki Islam tersebut telah didakwa atas tuduhan menggangu ( harrassament ) lelaki Athiest tersebut.

Kes tersebut telah dibicarakan dihadapan Hakim Daerah, Mark Martin. Hakim tersebut telah memutuskan lelaki Islam tersebut tidak bersalah dan membebaskan beliau. Apa yang menarik semasa beliau membebaskan lelaki Islam tersebut beliau telah memberi syarahan berikut :-

“Setelah mempunyai peluang tinggal lebih dari dua tahun di negara umat Islam saya rasa saya mempunyai pengetahuan sedikit sebanyak tentang Islam. Hakikatnya saya ada senaskah Al-Quran di sini.. Saya ingin mencabar kamu tuan ( lelaki Athiest tersebut ) tunjukkan kepada saya di mana di dalam Al-Quran yang menyatakan bahawa Muhammad telah bangun dan berjalan bersama orang-orang yang dah mati. Oleh itu sebelum kamu memperolok-olok agama orang Iain kamu sepatutnya berusaha untuk mengetahui agama tersebut

Di dalam masyarakat kita ( Amerika ) kita mempunyai Perlembagaan yang memberi kita banyak hak khususnya hak di bawah Pindaan Pertama. Amat malang setengah orang menguna Pindaan Pertama tersebut bagi membuat provokasi ke atas orang lain dengan sengaja. Saya tidak fikir itulah yang diniatkan oleh datuk moyang kita terdahulu. Saya rasa datuk moyang kita berniat untuk mengguna Pindaan Pertama tersebut bagi membolehkan kita menyampaikan apa yang ada di minda kita dan bukannya bagi menghina dan mencerca orang lain atau budaya mereka – yang malangnya itulah yang kamu lakukan.”

Hakim itu kemudiannya meneruskan syarahan beliau tentang Islam seperti berikut :-

“ Saya tidak rasa kamu sedar tuan bahawa di sana terdapat perbezan yang besar bagaimana Amerika melaksanakan Kristian – saya faham kamu adalah seorang Athiest ( tidak percaya agama ) – tapi kamu kena faham bahawa Islam bukan sekadar agama. Islam adalah cara hidup dan budaya mereka . Islam adalah segala-galanya bagi mereka ( orang Islam ) . Mereka bersembahyang lima kali sehari dan menghadap Mekah . Untuk menjadi orang Islam yang baik sebelum mati kamu kena pergi ke Mekah menunaikan haji melainkan kamu terlalu sakit atau terlalu tua tetapi kamu kenan berusaha untuk melakukan haji. Perjumpaan mereka dimulakan dengan ‘Salam alaikum, wa-laikum as-Salam yang ertinya Salam sejahtera ke atas kamu.

Adalah menjadi kebiasaan dalam percakapan mereka apabila mereka bercakap dengan orang lain mereka akan berkata “ Jika Allah mengkehendaki” ia akan berlaku. Inilah tata cara kehidupan mereka. Apa yang kamu lakukan adalah sama sekali meranapkan apa yang mereka anuti. Saya berpendapat apa yang kamu lakukan adalah sangat sangat biadap dan meskipun kamu ada hak , kamu bagaimanapun telah bertindak melampaui had-had yang ditetapkan oleh Pindaan Pertama Perlembagaan..

Saya telah mengabiskan masa selama tujuh tahun tinggal di negara-negara lain. Apabila kita pergi ke negara lain bukan satu yang luar biasa orang memanggil kita sebagai ‘ugly Americans” ( Amerika yang hodoh ) . Ini kerana kita terlalu mementingkan hak kita tetapi tidak langsung mempedulikan hak-hak orang lain.”

Di dalam satu kes yang lain yang melibatkan seorang yang dibuang kerja kerana tidak diberi alasan seorang Hakim Amerika dengan penuh yakin menyatakan seperti berikut “ Jika Tuhan sendiri memberikan alasan kepada Adam- iaitu Adam dilarang memakan buah yang dilarang- sebelum beliau diperintah keluar dari syurga , siapakah kamu ( majikan ) yang dengan sewenang-wenangnya memecat pekerja kamu tanpa memberi alasan.”

8/03/12

Taskirah Malam Jumaat

10 JENIS SOLAT YANG TIDAK DITERIMA OLEH ALLAH S. W. T

Rasulullah S. A. W. telah bersabda yang bermaksud : "Sesiapa yang memelihara solat, maka solat itu sebagai cahaya baginya, petunjuk dan jalan selamat dan barangsiapa yang tidak memelihara solat, maka sesungguhnya solat itu tidak menjadi cahaya, dan tidak juga menjadi petunjuk dan jalan selamat baginya." (Tabyinul Mahaarim) Rasulullah S. A. W telah bersabda bahawa : "10 orang solatnya tidak diterima oleh Allah S. W. T, antaranya :

1. Orang lelaki yang solat sendirian tanpa membaca sesuatu.

2. Orang lelaki yang mengerjakan solat tetapi tidak mengeluarkan zakat.

3. Orang lelaki yang menjadi imam, padahal orang yang menjadi makmum membencinya.

4. Orang lelaki yang melarikan diri.

5. Orang lelaki yang minum arak tanpa mahu meninggalkannya (Taubat).

6. Orang perempuan yang suaminya marah kepadanya.

7. Orang perempuan yang mengerjakan solat tanpa memakai tudung.

8. Imam atau pemimpin yang sombong dan zalim menganiaya.

9. Orang-orang yang suka makan riba'.

10. Orang yang solatnya tidak dapat menahannya dari melakukan perbuatan yang keji dan mungkar."

Sabda Rasulullah S. A. W yang bermaksud : "Barang siapa yang solatnya itu tidak dapat menahannya dari melakukan perbuatan keji dan mungkar, maka sesungguhnya solatnya itu hanya menambahkan kemurkaan Allah S. W. T dan jauh dari Allah." Hassan r. a berkata : "Kalau solat kamu itu tidak dapat menahan kamu dari melakukan perbuatan mungkar dan keji, maka sesungguhnya kamu dianggap orang yang tidak mengerjakan solat. Dan pada hari kiamat nanti solatmu itu akan dilemparkan semula ke arah mukamu seperti satu bungkusan kain tebal yang buruk."

2/03/12

Renungan Malam Jumaat

 10 pintu ruang syaitan kuasai manusia


ALLAH SWT berfirman bermaksud: “Syaitan memberikan janji yang membangkitkan angan-angan kosong kepada mereka. Walhal syaitan itu tidak menjanjikan kepada mereka kecuali tipu daya belaka. Tempat mereka itu ialah neraka jahanam dan mereka tidak memperoleh tempat untuk lari daripadanya.” (Surah an-Nisa, ayat 120-121).


Ayat ini jelas menerangkan kepada manusia antara sikap jahat syaitan terhadap manusia iaitu membisik ke dalam hati kita angan-angan kosong seperti menyangka sudah memiliki pahala yang banyak menerusi amalan yang dilakukan lalu manusia pun berfikir ‘aku layak mendiami syurga’ tanpa perlu meningkatkan lagi amalan.
Punca mengapa manusia mudah terpengaruh dengan bisikan syaitan ini ada kaitannya dengan sifat mazmumah yang diamalkan dalam kehidupan seharian.
Melalui pelbagai jenis sifat mazmumah itulah sama ada ketika kita sedar atau tidak, sebenarnya ia menyediakan ruang kepada syaitan untuk menapak dalam diri.



Apabila syaitan sudah menjadi raja di dalam diri, seseorang individu itu akan sanggup melakukan apa juga perbuatan keji dan mungkar kerana keinginan nafsu akan menjadi sebati dengan sifat jahat syaitan itu sendiri.


Hati, organ istimewa kurniaan Allah kepada manusia pada saat dan waktu akan mula goyah apabila sedikit demi sedikit syaitan merayap menguasai tunjang di dalam badan manusia.


Pada ketika itu, syaitan berlumba-lumba untuk memenangi dan menguasai hati manusia. Mereka akan sedaya upaya menawan hati itu dan memujuk nurani manusia untuk melanggar segala perintah Allah.
Namun, beruntunglah manusia yang berupaya menangkis godaan itu. Mengikut ulama, syaitan akan menguasai tubuh badan manusia melalui 10 pintu iaitu:


Pertama – melalui sifat sombong dan angkuh. Dua sifat ini mudah tersemai dan subur dalam diri manusia. Ia berpunca sikap ego manusia yang mudah hanyut ketika dilimpahi kemewahan dan kesenangan.


Kedua – melalui sifat bakhil dan kedekut. Setiap harta benda dan kemewahan yang diperoleh adalah kurniaan Allah. Ia seharusnya dibelanjakan ke jalan yang hak (benar).


Ketiga – melalui sifat takbur dan bongkak. Sifat ini selalunya bertapak dalam diri seseorang manusia yang berasakan dia sudah memiliki segala-galanya dalam hidup ini. Mereka terlupa bahawa kesenangan dan nikmat yang dikurniakan itu boleh ditarik oleh Allah pada bila-bila masa saja. Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang yang takbur.” (Surah an-Nahl, ayat 23)


Keempat – sifat khianat. Khianat yang dimaksudkan bukan saja melalui perbuatan merosakkan sesuatu yang menjadi milik orang lain, tetapi juga mengkhianati hidup orang lain dengan tidak mematuhi apa-apa bentuk perjanjian, perkongsian dan sebagainya.


Kelima – sifat tidak suka menerima ilmu dan nasihat. Junjungan Rasulullah selalu menasihati sahabat menjauhkan diri daripada menjadi golongan keempat ini kerana ia dibenci Allah


Keenam – melalui sifat hasad. Perasaan hasad dengki selalunya akan diikuti dengan rasa benci dan dendam yang berpanjangan. Rasulullah SAW pernah bersabda bermaksud: “Hindarilah kamu daripada sifat hasad kerana ia akan memakan amalan kamu seperti api memakan kayu yang kering.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).


Ketujuh – melalui sifat suka meremehkan orang lain. Sifat ego manusia ini selalunya akan lahir apabila seseorang individu itu merasakan dirinya sudah sempurna jika dibandingkan dengan orang lain. Orang lain dilihat terlalu kecil dan kerdil jika dibandingkan dengan apa yang dia miliki. Abu Umamah pernah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda bermaksud: “Tiga kelompok manusia yang tidak boleh dihina kecuali orang munafik ialah orang tua, orang yang berilmu dan imam (pemimpin) yang adil.” (Riwayat Muslim).


Kelapan – melalui sifat ‘ujub atau bangga diri. Menurut Imam Ahmad, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jangan kamu bersenang lenang dalam kemewahan kerana sesungguhnya hamba Allah itu bukan orang yang bersenang-senang saja.” (Riwayat Abu Naim daripada Muaz bin Jabal)


Kesembilan – melalui sifat suka berangan-angan. Islam agama yang menentang sifat malas. Orang yang berat tulang untuk berusaha bagi mencapai kecemerlangan dalam hidup akan dipandang hina oleh Allah dan manusia.


Ke-10 - melalui sifat buruk sangka. Seseorang yang suka menuduh orang lain melakukan sesuatu kejahatan tanpa diselidiki terlebih dulu amat dicela oleh Islam. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Nanti akan ada seseorang berkata kepada orang ramai bahawa mereka sudah rosak. Sesungguhnya orang yang berkata itulah sebenarnya yang rosak dirinya.” (Riwayat Muslim)