7/01/13

KETEGASAN KHALIFAH UMAR AL-KHATTAB


Umar al-Khattab begitu tegas dan ketat dalam urusan kewangan negara, beliau juga amat ketat dalam meneliti pendapatan dan harta setiap gabenor dan pegawainya. Setiap pegawai yang dilantik akan diminta melakukan deklarasi harta, dan peningkatan hartanya akan disemak dengan begitu kerap. Jika peningkatan berlaku, Umar r.a akan mengambil separuh untuk baitul Mal dan dalam beberapa keadaan Umar r.a mengambil semuanya. Selain itu, Umar r.a turt melakukan lawatan mengejut ke ruamh pegawainya bagi memastikan tiada pertambahan harta secara syubhah. Berikut beberapa kisah prihatinnya Umar r.a r.a :- • Gabenor kerajaan Islam di Mesir pada ketika itu adalah seorang sahabat bernama ‘Amr bin Al-‘As. Beliau dilaporkan membuat satu mimbar khas untuk dirinya di Mesir. Ini menyebabkan Umar al-Khattab menjadi marah lalu menghantar surat kepada ‘Amru yang menyebut "Aku mendengar kamu telah membina satu mimbar agar boleh meninggikan dirimu dari umat Islam, adakah tidak cukup kamu berdiri dan mereka berada di kakimu, aku ingin kamu segera meruntuhkan mimbarmu". • Dalam satu keadaan lain, Sa'ad juga dilaporkan membina pagar di sekitar rumahnya ( di ketika itu amat jangkal rumah mempunyai pagar kecuali terlalu kaya), sehingga orang ramai menggelarkannya "ISTANA SA'AD". Dinyatakan bahawa Sa'ad membina agar itu kerana rumahnya berhampiran degan pasar dan amat bising, lalu dibinanya agar dapat menghalang sedikit kebisingan. Apabila berita sampai kepada Umar al-Khattab, beliau melihat mudarat pagar itu lebih besar dari manfaatnya, lalu dengan segera menghantar Muhammad bin Maslamah untuk membakar pagar tersebut. • Umar r.a telah melantik Mujasha' bin Mas'od untuk beberapa tugasan, dan kemudiannya mendapat laporan isteri Mujasha' bernama al-Khudayra kerap membeli perabot baru dan hiasan dinding. Lalu Umar r.a menghantar surat kepada Mujasha' agar mengoyakkan semua hiasan dinding. Mujasha' menerima surat itu ketika bersama orang ramai, lalu dengan segera beliau mengarahkan isteri keluar lalu diminta orang ramai masuk ke rumah dan membantu mengoyak dan menurunkan semua hiasan dinding baru yang dibeli isterinya. Sebenarnya, Umar r.a tahu ia dibeli dengan harta syubhah akibat jawatan Mujasha', kerana itu diarahkan sedemikian. Anda juga boleh melihat betapa kuatnya taat dan yakinnya para pegawai dengan keikhlasan dan kejujuran Umar r.a. • Umar r.a pernah melawat pegawai-pegawainya di Syria, dan kemudian Yazid Bin Abi Sufyan menjemputnya datang ke rumah, ketika Umar r.a memasuki rumah lalu dilihatnya penuh dengan hiasan dinding bergantungan. Umar r.a mula mengambilnya sambil berkata "barang-barang ini boleh digunakan oleh rakyat jelata untuk melindungi diri mereka dari kesejukan dan kepanasan" • Umar r.a juga pernah mengambil beberapa bahagian harta adik beradik gabenornya dan pegawainya apabila hasil penyelidikannya mendapati keraguan. Contohnya seperti beliau mengambil sebahgian dari harta Abu Bakrah. Namun Abu Bakrah cuba membantah dengan mengatakan "aku tidak pernah berkhidmat denganmu (sebagai pegawai kerajaan)" Umar r.a menjawab "Ya benar, tetapi adikmu berkhidmat sebagai penyelia Baitul Mal, dan dia telah memberikan beberapa pinjaman kepadamu agar kamu boleh berniaga dengannya" Kesimpulannya, semua tindakan Umar r.a ini tidaklah diambil secara sembarangan, kisah ini hanyalah ringkasan sahaja, dan tindakan beliau semua bagi mengelakkan jawatan di jadikan PELUANG UNTUK MERAUT KEKAYAAN. Adakah ini berlaku kepada pemimpin kita sekarang? Semuanya sudah terjawab dan diketahui kita sekian lamanya. Tuhan yang maha berkuasa telah memberikan kita akal dan fikiran untuk menilai pemimpin yang sebagaimana untuk kita tentukan….






Kisah Umar Al-Khattab di akhir hayatnya

Pada 23 Zulhijjah tahun 23 Hijrah Umar al Khattab dibunuh oleh Abu Lu’lu’ dalam masjid ketika menjadi imam sembahyang subuh. Setelah menikamnya sebanyak 6 kali maka Abu Lu’lu’ cuba melarikan diri namun dihadang oleh ahli jemaah yang berada dibelakang Umar al Khattab. Abu Lu’lu’ yang bersenjatakan pisau bermata dua sempat menikam 13 orang sebelum membunuh diri. Dalam keadaan luka parah dan menahan kesakitan Umar al Khattab menyuruh Abdul Rahman Auf menjadi imam sembahyang. Selesai sembahyang baru mereka mendapatkan Umar al Khattab yang sedang terbaring berlumuran darah. “Siapa yang menikamku?” tanya Umar al Khattab. “Abu Lu’lu’ hamba Mughirah Syu’bah,” jawab Abdullah. “Syukur kepada Allah kerana aku tidak dibunuh orang Islam,” ujar Umar al Khattab. Datang seorang tabib cuba memberikan rawatan. Kemudian diberinya minum tetapi minuman itu keluar dari perutnya yang luka. “Wahai Amirul Mukminin, sudah tiba masanya,” kata tabib itu. Orang ramai menangis tetapi ditegah oleh Umar dengan berkata. “Jangan kamu menangis. Nabi bersabda orang yang mati terazab dengan tangisan keluarganya.” Kemudian Umar al Khattab memanggil anaknya Abdullah supaya menemui Aisyah isteri Rasulullah saw mohon kebenaran disemadikan bersebelahan dengan kubur baginda. Aisyah membenarkan dengan berkata . “Sebelum ini aku telah menyimpan tempat itu untuk aku tetapi hari ini aku menyerahkannya kepada Umar.” “Wahai Amirul Mukminin, apakah tuan akan melantik Abdullah bin Umar sebagai pengganti?” tanya Al Mughirah. “Demi Allah, aku haramkan keluarga dari jawatan ini…” jawab Umar al Khattab. Kemudian Umar al Khattab menamakan 6 orang sebagai calun khalifah mereka ialah Uthman Affan, Ali bin Abi Talib, Talhah bin Ubaidillah, Zubair bin Awwam, Abdul Rahman bin Auf dan Sa’ad bin Abi Waqas. Mereka akan dipilih oleh ahli majlis syura. Kemudian Umar al Khattab memberi wasiat kepada anaknya Abdullah bahawa beliau mempunyai hutang sebanyak 8 ribu dirham. “Jual semua hartaku untuk membayarnya. Jika tidak cukup kamu yang membayarkannya.” Ali bin Abi Talib memandi dan mengkafankan Umar al Khattab. Kemudian beliau berkata. “Demi Allah, orang yang diselubungi kain kafan ini begitu cinta untuk menemui tuhannya.” Jenazah Umar al Khattab disembahyangkan di masjid dengan Suhaib menjadi imamnya. Kemudian disemadikan bersebelahan dengan kubur Rasulullah saw dan Abu Bakar as Siddiq. Orang yang turun ke liang lahad adalah Uthman Affan, Sa’id bin Zaid, Suhaib bin Sinan dan Abdullah bin Umar. Kubur tiga sahabat sejati itu sentiasa dikunjungi orang ramai hingga ke hari ini. Setelah menziarahi dan berdoa di makam Nabi Muhamad saw dan Abu Bakar teruslah berdoa untuk Umar al Khattab pula. “Salam sejahtera ke atasmu wahai yang menzahirkan Islam secara terang-terangan. Salam sejahtera ke atasmu wahai yang telah diberi gelaran al Faruq yang memisahkan antara yang benar dan salah, salam sejahtera ke atasmu yang sentiasa bercakap benar serta memelihara anak yatim dan menghubungkan kasih sayang dan engkaulah yang menjadikan agama Islam kuat dan gagah. Maka terima lah salam sejahtera serta rahmat dari Allah ke atasmu.”



Tiada ulasan:

Catat Ulasan