10/02/13

FITNAH ITU AMAT BERBAHAYA.




Pelbagai fitnah boleh kita baca di blog-blog politik tentang calun dari parti politik yang akan bertanding. Perkara begini sudah menjadi mainan politik mereka sejak dahulu lagi bertujuan untuk mencapai kemenangan tanpa memikir betapa beratnya dosa fitnah ini. Kesan buruk dari fitnah boleh memecahbelahkan perpaduan umat Islam yang begitu ghairah dengan kemenangan yang sementara yang tidak memberi apa-apa kebaikan kepada rakyat. Jangan kita bersekongkol dengan orang yang suka membuat fitnah kerana kita akan diseret bersama dengan mereka ke neraka nanti. (Istighfirullah 100x).

Yang paling hina adalah tukang buat fitnah yang diupah untuk menjatuhkan parti lawan. Tukang fitnah ini tidak memperdulikan soal dosa, haram dan halal kerana bagi mereka adalah duit. Begitu hina sekali mereka ini yang mengada-gadakan fitnah yang diadakan untuk memburuk parti lawan. Upah pun taklah seberapa. Tapi sebenarnya mereka menempah tiket ke neraka jahannam. Jika boleh jangan cari rezki yang macam ni bagi anak bini makan. Kasihan anak-anak dan bini yang tidak berdosa. Tukang angkat najis pun lebih mulia dari suami kamu.

Dahulu penulis pun ada sebuah blog politik. Tetapi disebabkan berita yang diterima dan maklumat yang belum pasti kebenarannya. Maka ditutupkan sahaja blog tersebut dari menyebar berita samada betul atau tidak. Tidak ada apa yang nak dibanggakan dengan blog politik yang ramai pengunjungnya tetapi kerana takut tersilap penyampaian maklumat dan menjadi fitnah pula. Lebih takut pada Allah swt yang membuat penulis jarang masuk tajuk politik dan memberi tumpuan sepenuhnya pada penyampaian dakwah Islam.

Kepada bloggers lain yang cuba meniru bloggers blog politik, elakkan penyampaian berita yang kurang pasti kebenarannya. Jika anda tersilap, segala pahala dari amal ibadah akan hilang dan anda akan menjadi muflis di akhirat nanti.

Firman Allah swt bermaksud;
“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal yang baik bagi mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang bertakwa,” (Surah Ali Imran, ayat 133).

Masa adalah kehidupan dan ladang amalan. Perlu diinsafi masa adalah nikmat yang sepatutnya dimanfaatkan sebagai modal penting menjejak keredaan Ilahi. Kedudukan seseorang di sisi Allah selain ditentukan keimanan dan amal salihnya, kerana faktor kesegeraan dan semangat dalam melaksanakan amal salihnya.

Bersegera melakukan amalan soleh kerana ia antara inti utama ajaran Islam. Rasulullah SAW menasihati para sahabat bersegera melakukan amal salih sebagaimana sabda Baginda bermaksud;

“Bersegeralah melakukan amal soleh (kebajikan), (kerana) akan berlaku fitnah seumpama malam yang gelap gelita. Dalam keadaan itu, terdapat seorang pada paginya mukmin, petangnya menjadi kafir. Dan begitu juga sebaliknya seorang yang petangnya kafir, kemudian pada sebelah paginya, dia menjadi mukmin. Dia menjual agamanya demi kepentingan dunia yang sedikit,”
 (hadis riwayat Muslim).

Dalam hadis ini Nabi SAW menggesa umat Islam memperbanyakkan amalan soleh dan bersegera melakukannya serta tidak menangguh amalan terbabit. Ini kerana, akan datang suatu masa nanti berlaku fitnah atau malapetaka besar yang menjadi penghalang bagi seorang mukmin melaksanakan amalan kebaikan.


Fitnah itu berlaku tanpa diketahui sebabnya dan ia merebak dalam kehidupan manusia tanpa disedari. Mereka tidak dapat menghalang apatah lagi meninggalkannya. Ia umpama malam yang gelap gelita. Pada ketika itu, manusia sibuk menghadapi fitnah ini, maka terhenti amalan kebaikan yang sepatutnya dilakukan demi menjamin kejayaan dunia dan akhiratnya.

Kedahsyatan fitnah dan malapetaka ini berlaku sehingga seseorang Muslim itu menjadi seorang mukmin pada paginya dengan mendirikan solat, mengerjakan ibadat dituntut, mendirikan syiar Islam, akan tetapi pada waktu petangnya kufur kepada Allah SWT.

Imannya tidak kukuh, sekukuh iman para sahabat yang dididik Rasulullah SAW. Kelemahan iman ini menyebabkan seseorang itu menjual agamanya semata-mata ingin mendapatkan habuan dunia yang bersifat sementara.

Neraca penilaian di dalam diri seseorang menjadi songsang, sehingga beliau melihat dunia sebagai matlamat utama, dan melihat kebahagiaan akhirat tiada nilai. Kedahsyatan fitnah dan malapetaka ini, menyebabkan iman seorang Muslim itu berdolak-dalik.

Sesungguhnya fitnah itu amat berbahaya dan dapat bergerak dengan pantas. Sekali kita membiarkannya maka selanjutnya ia bertapak dan berkembang dalam tubuh kita. Begitu cepat sehingga menyebabkan seseorang bertukar agama, menggadaikannya dengan kesenangan dunia. Maka tidak hairanlah Rasulullah SAW memperingatkan para sahabat dan umatnya sewaktu mendepani perjalanan hidup yang penuh cabaran.

Pintu fitnah ini boleh ditutup dengan amal soleh. Apa saja dilakukan dalam hidup seorang Muslim akan menjadi amal kebaikan.

Bercakap benar dan tidak bohong itu amalan mulia. Mendoakan kesejahteraan untuk saudaranya seislam tanpa pengetahuan mereka, juga amal salih dan lain-lain amalan kebaikan yang berlangsung dalam setiap sendi kehidupan umat sejagat. Allah SWT adil kerana memberi peluang kepada hamba-Nya, baik miskin mahu pun kaya, masing-masing memiliki kesempatan melakukan amal kebajikan dan mendapat keredaan. Lebih daripada itu, sesuatu amal tidak dilihat dari sudut kuantiti, tetapi dilihat dari sudut motivasi dan niatnya. Pendek kata, kualiti amal seseorang itu amat bergantung kepada motivasi dan niatnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan