25/10/12

SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA






Sesungguhnya
Perjalanan kita sebagai khalifah di bumi allah ini...cukup berbeza2.
Betapa misterinya mukjizat yang ESA pada makhluknya yang bernama....
Manusia.
Termaktub,dah tertulis 'bahagian' kita seadanya..
Mampu atau tidak,redhanya kita pada ketentuan yang ESA ..?
Hanya kita yang empunya rasa
......
Jalanmu mungkin tak sama..dengan laluanku.
Keperitanmu mungkin tak cukup berbekas di hati aku.
Pengorbanan besar bagimu mungkin hanya secebis pada diriku
........

Pengorbanan kadangkala bisa jadi satu Penzahiran yang maha hebat
Tak perlu tutur manis bahasa..
Tak usah diulangkata
Pengorbanan
Keredhaan atau Keterpaksaan?

..........

Biar APAPUN hakikat pengorbanan
Hayati......Hargailah.
admin mengucakan selamat hari raya aidiladha kepada pembaca blog ini 

MUDAHKAN PENDEKATAN ISLAM, JANGAN EKSKLUSIFKANNYA

ADMIN / OCTOBER 25, 2012

                    

Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin


Amat memeritkan perasaan apabila melihat sesetengah pihak menyebut: “Nak faham Islam ini susah, kami tidak cukup masa, ada macam-macam kena buat masa muda ini. Tunggulah kami dah tua”. Ungkapan ini lahir dari salah tanggapan mereka bahawa Islam adalah agama yang sukar difahami dan sukar untuk diamalkan. Ini berpunca dari cara pengajarannya yang susah dan isi yang dipayah-payahkan oleh sesetengah pihak. Dengan kita akur untuk menjadi pakar ilmu-ilmu Islam memanglah tidak mudah, bahkan menjadi pakar apa-apa ilmu pun tidak mudah. Namun memahami dan mengamalkan Islam secara umumnya adalah mudah dan mampu dicapai oleh setiap lapisan manusia. Jika tidak bagaimana mungkin Islam menjadi agama sejagat yang diutuskan untuk setiap insan tanpa mengira lantar kehidupan dan pendidikan.

Antara Cuai Dengan Memayahkan

Memang, mudah-mudahkan agama dalam ertikata melaksanakannya dalam keadaan yang cuai dan tidak menepati kehendak nas-nas al-Quran dan hadis yang sahih adalah kesalahan dalam agama. Namun begitu, menjadikan agama begitu payah dan sukar hingga melampaui batasan yang diperuntukkan oleh nas-nas agama juga satu kesalahan. Firman Allah:




(maksudnya): Mereka yang mengikut Rasulullah (Muhammad s.a.w) Nabi yang ummi, yang mereka dapati dia tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka. Dia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji; dan dia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk; dan dia juga menghapuskan dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada pada mereka. (Surah al-‘Araf: 157)

Firman Allah lagi:




(maksudnya): Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. (Surah al-Baqarah: 185).

Firman Allah juga:




(maksudnya): Allah (sentiasa) hendak meringankan (beban hukumnya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah. (Surah al-Nisa: 28).

Menyusahkan Gambaran Islam

Saya tidak ingin membicarakan tentang golongan yang cuai terhadap agama. Ini telah banyak diperkatakan oleh ustaz-ustaz kita. Saya bicarakan tentang sikap sesetengah pihak yang cuba menonjolkan Islam seakan ia agama yang begitu sukar untuk dihayati, dan seakan tidak akan sampai ke dataran Islam ini melainkan beberapa kerat manusia sahaja. Maka hukum-hakam yang mereka ajar kelihatan begitu susah untuk difahami, apatah lagi untuk dihayati. Lihat sahajalah, haji yang hanya beberapa hari untuk ditunaikan, tetapi kursus yang dibuat berbulan-bulan lamanya. Ianya diajar dengan cara yang sukar disebabkan berbagai faktor. Salah satunya; tokok tambah ajaran agama yang menyebabkan orang awam sentiasa keliru dan tidak mampu kerana terpaksa menghafal berbagai ayat dan peraturan yang sebahagian besarnya tidak pernah diajar pun oleh hadis-hadis Nabi s.a.w yang sahih. Ini seperti menetapkan berbagai bacaan khas bagi setiap pusingan tawaf. Lalu mereka buat bisnes pula bagi yang tidak mampu menghafal dengan menjual buku atau alatan tertentu.



Demikian juga kecenderungan sebahagian pengajar hukum-hakam syarak untuk menjatuhkan hukuman haram dan batal amalan seperti terbatal akad nikah hanya kerana terputus nafas, atau terbatal solat kerana pergerakan lebih dari tiga kali, terbatal puasa kerana berenang dalam kolam dan seumpamanya. Sedangkan nas-nas al-Quran dan al-Sunnah tidak pun menyatakan demikian. Di samping itu, kecenderungan mendetilkan perkara yang tidak perlu sehingga ramai yang jadi keliru. Umpamanya mendetilkan syarat niat yang bukan-bukan. Sehingga ada buku yang menetapkan puluhan syarat niat. Bukannya menjadikan orang faham maksud niat, sebaliknya bertambah kabur. Pada hal setiap aktiviti insan secara sedar mempunyai niat. Maka dengan itu kita katakan ‘membunuh dengan niat’, sekalipun si pembunuh tidak melafazkannya secara lisan ketika hendak membunuh atau menghafal syarat niat. Malangnya, akibat salah ajaran, seseorang berulang kali bertakbir dalam solatnya. Kononnya, belum masuk niat. Padahal, jika dia tidak berniat solat, bagaimana mungkin dia boleh berada di saf untuk solat?! Demikian juga mendetilkan tentang jenis-jenis air dalam berwuduk berbulan perbahasannya sedangkan solat diperlukan lima kali sehari. Inilah yang menyebabkan ada yang baru masuk Islam tidak solat berbulan kerana bab wuduk belum habis dibincangkan.



Ekslusifkan Agama

Pendekatan ini menyebabkan Islam menjadi eksklusif seakan hanya untuk sekelompok manusia sahaja. Sementara selain mereka hanyalah manusia yang terpaksa bertaklid buta disebabkan kononnya tidak mampu untuk memahami apa sahaja hal ehwal agama ini kerana akal mereka tidak kesampaian. Sebenarnya, bukan tidak kesampaian, tetapi pendekatan pengajaran yang telah melanggar garis panduan Nabi s.a.w lantas menyanggahi lojik insan. Hal ini berbeza dengan arahan baginda s.a.w, di mana baginda bersabda:




“Agama itu mudah. Tiada seorang yang memberat-beratkannya melainkan dia menjadi susah. Maka bersederhanalah, dekatilah yang tepat dan gembirakanlah mereka” (Riwayat al-Bukhari).

Pendekatan Nabi s.a.w adalah pendekatan mudah yang membolehkan sebanyak mungkin manusia merasai kebersamaan mereka dalam Islam ini. Antaranya baginda mengkritik imam yang memanjangkan solatnya, tanpa meraikan keadaan makmun yang berbagai di belakangnya. Baginda bersabda:




“Wahai manusia! sesungguhnya di kalangan kamu ada yang menyebabkan orang lari. Sesiapa di kalangan kamu yang bersolat (menjadi imam) untuk orang ramai, maka ringkaskanlah, kerana di kalangan mereka ada yang tua, lemah dan yang mempunyai urusan (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).



Pendekatan yang menyukarkan ini berlarutan sehingga dalam masalah pengajian akidah. Sesetengah perbincangan akidah dipengaruhi oleh falsafah lama yang kadang-kala tidak membawa sebarang kekuatan kepada akidah, bahkan kepada kepenatan akal dan kecelaruan sahaja. Ini seperti Allah ada lawannya tiada, dengar lawannya pekak, melihat lawannya buta, tidak berjisim, tidak berjirim dan seumpamanya. Kemudian diikuti dengan falsafah-falsafahnya yang memeningkan. Keletihanlah anak-anak muda untuk memahaminya. Bahkan kadang-kala guru yang mengajar pun tidak faham. Untuk mengelakkan dia dipersoalkan dia akan berkata: “Barang siapa banyak bertanya maka lemahlah imannya…”. Maka tidak hairanlah jika yang baru menganut Islam kehairanan bertanya: Mengapa Tuhan itu ada, selepas lawan maka Dia sudah tiada? Maka akidah sebenar hilang dalam kepincangan perbahasan falsafah.

Akidah Itu Mudah Difahami

Akidah Islam adalah akidah yang bersih dan mudah difahami. Bacalah al-Quran dan al-Sunnah, lihatlah perbincangan akidah dalam kedua sumber agung itu, sangat jelas dan tidak berbelit-belit. Dalam hanya beberapa ayat seperti isi al-Ikhlas, al-Quran menyerlah konsep akidahnya, tidak perlu memayah-mayah. Dalam ajaran Islam, persoalan tauhid dan akidah adalah perkara yang paling mudah dan senang untuk difahami oleh semua lapisan umat. Ini kerana memahami akidah satu kemestian termasuk yang buta huruf, badawi di padang pasir sehinggalah kepada golongan yang terpelajar dan cerdik pandai. Maka tidak hairanlah pada zaman Nabi s.a.w., para perwakilan yang datang mengambil ajaran Islam dari baginda dalam beberapa ketika sahaja, namun mampu mengislamkan keseluruhan kabilahnya. Sebab, konsep yang jelas dan mudah.



Kalaulah perbahasan akidah begitu sukar dan susah seperti yang difahami oleh golongan ahli kalam dan falsafah, bagaimana mungkin golongan awam yang buta huruf atau tidak memiliki kecerdasan akal yang tinggi untuk memahaminya?!!.Kata Dr Yusuf al-Qaradawi:


“Tambahan pula, perbahasan ilmu kalam, sekalipun mendalam dan kepenatan akal untuk memahami dan menguasainya, ia bukannya akidah….Lebih daripada itu perbahasan ilmu kalam telah terpengaruh dengan pemikiran Yunan dan cara Yunan dalam menyelesaikan masalah akidah. Justeru itu imam-imam salaf mengutuk ilmu kalam dan ahlinya serta berkeras terhadap mereka” (Al-Qaradawi, Thaqafah al-Da’iyah, m.s. 92, Beirut: Muassasah al-Risalat).

Sebab itu –barangkali- dakwah kepada akidah Islam di tempat kita tidak subur. Sebaliknya cerita keluar Islam yang disuburkan. Proses pemulihan akidah pun dalam banyak rekodnya adalah gagal. Ini kerana kita banyak berfalsafah dari membahaskan akidah berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah. Maka bacalah buku-buku akidah yang jelas membimbang jiwa dan akal secara fitrah. Bukan falsafah yang menyusahkan.

Ruang Untuk Semua

Ramai orang muda atau professional yang menghadiri kelas-kelas pengajian saya. Saya katakan kepada mereka hadirlah dengan kebiasaan anda dan fahamilah apa yang hendak disampaikan. Anda tidak diwajibkan berkopiah, atau berjubah. Pakailah apa sahaja yang anda selesa. Bukan syarat masuk ke masjid mesti berketayap. Jangan kita letakkan syarat hendak memahami agama ini yang bukan-bukan. Nanti ramai yang tidak sampai maklumat Islam kepadanya. Atau syarat-syarat itu akan menjadi peraturan yang dianggap agama, akhirkan diwajibkan secara tidak sedar. Lihat saja sebahagian wanita muslimah kita, mereka sekalipun telah menutup aurat, namun jika tidak memakai telekung mereka rasa sukar untuk solat. Bahkan ada yang rasa tidak boleh bersolat tanpa telekung. Padahal telekung itu, hanyalah budaya Asia Tenggara. Solatlah dengan pakaian anda selagi menutup aurat.

Kehidupan Islam Praktikal

Demikian sebahagian buku atau filem menggambarkan seorang soleh dalam rupa yang sempit. Digambarkan insan yang beramal dengan Islam itu terpaksa mengasingkan hidupnya dan beruniform berbeza dengan orang lain. Ini seperti apabila ditonjolkan watak orang soleh ialah lelaki yang berserban, tangan memegang tasbih sentiasa, tidak bergaul dengan manusia biasa, sebaliknya hanya berjalan sendirian. Itulah wali kononnya. Adakah Nabi s.a.w dan para sahabahnya berwatak demikian sehingga kita jadikan itu ciri-ciri orang soleh? Tidakkah berjalan dengan sentiasa memegang tasbih lebih menampakkan ciri-ciri riyak dalam amalan?!



Sebab itu al-Imam Ibn Jauzi (meninggal 597H) mengkritik sebahagian dari sikap ini dengan menyatakan:


“Di kalangan golongan zuhhad (golongan sufi) ada mereka yang memakai baju yang koyak tidak dijahit dan membiarkan serban dan janggutnya tidak berurus untuk menunjukkan dia tidak mementing dunia. Ini sebahagian dari riyak (menunjuk-nunjuk)”. (Ibn Jauzi, Talbis Iblis, m.s. 179-180, Beirut: Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah).

Lebih buruk lagi, penonjolan watak yang seperti itu menjadikan Islam tidak praktikal untuk semua manusia, sebaliknya hanya untuk beberapa kerat manusia ajaib sahaja.

Demikian juga, kadang-kala buku-buku kerohanian menggambarkan untuk mendekatkan diri kepada Allah begitu sukar sehingga seakan tidak akan dicapai oleh manusia biasa. Pengamal Islam itu seakan manusia maksum seperti malaikat. Bebas dari urusan dunia. Ini boleh mematahkan semangat orang awam dari menghayati Islam. Padahal Nabi s.a.w dan para sahabah tidak demikian rupa kehidupan mereka. Sehingga Dr Yusuf al-Qaradawi mengkritik beberapa pandangan al-Imam al-Ghazali rh dengan katanya:


“Apa yang dapat difahami dari himpunan kitab-kitab sufi al-Ghazali yang mengandungi pengaruh kezuhudan yang kuat –sekalipun secara tidak langsung- bahawa insan contoh di sisi al-Ghazali dan golongan sufi secara amnya bukanlah insan yang dikenali oleh para sahabah r.a, yang difahami dari al-Quran, al-Sunnah dan Sirah. Insan contoh yang difahami oleh para sahabah ialah insan yang menghimpunkan antara dunia dan akhirat, antara hak dirinya dan Tuhannya, antara meningkatkan ruh dan berkhidmat kepada masyarakat, antara menikmat nikmat dunia dan bersyukur kepada Allah Ta’ala, antara beribadah dan berjalan serta bertebaran atas muka bumi mencari kurniaan rezekiNya, yang berkerja untuk dunia seakan hidup selamanya dan beramal untuk akhirat seakan akan mati esoknya” (Dr Yusuf al-Qaradawi, al-Imam al-Ghazali: Baina Madihih wa Naqidih, m.s 164, Beirut: Muassasah al-Risalah).

Mesti Bersifat Alternatif

Apabila ada wartawan bertanya saya tentang; adakah ubat tertentu haram kerana kononnya ada najis tertentu, saya jawab: “begitulah kita berterusan, jika asyik mencari perkara untuk dihukum haram sedangkan dalam masa kita tidak berusaha menjadi pengeluar. Maka sempitlah umat ini dengan keputusan-keputusan haram dalam banyak perkara. Sebelum menjawab saya ingin kata: kita semua hidup dalam keadaan haram kerana selalu bergantung kepada orang lain dan tidak menunaikan fardu kifayah memerdekakan umat. Sehingga akhirnya masyarakat dunia kata; kita hanyalah umat yang tahu mengharamkan, bukan menghasilkan produk untuk kebaikan manusia.



Dalam usaha menarik semua lapisan mendekati Islam, marilah kita mempersembahkan kepada masyarakat, Islam yang mudah dan praktikal seperti mana wajahnya pada zaman teragungnya iaitu era Nabi s.a.w dan para sahabah baginda. Jika tidak, agama ini akan menjadi begitu eksklusif hanya untuk kelompok tertentu sahaja dan ditinggalkan lautan umat yang dalam kesesakan.

Fesyen Tudung Bogel??





PERKEMBANAN Islam mutakhir ini menyaksikan ramai wanita Muslim memakai tudung. Ini amat menggembirakan kerana mereka sedar bahawa Allah mewajibkan ke atas wanita Muslim untuk menutup aurat dan ia adalah suatu fardu bagi mereka yang sudah baligh.

Tidak salah bagi setiap wanita untuk mengikuti perkembangan fesyen semasa selagi panduan syarak diutamakan dalam semua keadaan dan mampu mengawal diri supaya tidak melanggar batasan yang di gariskan dalam Islam terutamanya dalam soal perhiasan dan berpakaian.Islam juga tidak pernah melarang umatnya untuk berfesyen dan mengikuti aliran fesyen terkini tetapi pastikan setiap wanita yang bertudung menutup aurat keseluruhannya bukan sekadar melepaskan batuk ditangga

Sebagaimana Allah SWT berfirman yang bermaksud: “


Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram),
dan memelihara kehormatan mereka dan jangan mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya
dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka
dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mentua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara mereka yang perempuan, atau perempuan Islam, atau hamba mereka, atau orang gaji dari orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan,
janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka
dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” (Surah An-Nur, Ayat 31).

Namun, dalam keghairahan bertudung mengikut pembangunan fesyen semasa, masih terdapat segelintir wanita Muslim yang alpa mengenai aurat sehingga menimbulkan rasa tidak selesa di kalangan umat Islam. Kini, pelbagai fesyen tudung dipakai mengikut proses transformasi dan permodenan semasa. Namun, pemakaiannya masih dianggap tidak sempurna jika masih menampakkan bahagian leher dan dada.

Menutup aurat bukan sekadar jika kepala sudah kemas diliputi tudung sudah dikira menutup aurat tetapi wajib menutup seluruh badannya kecuali pada bahagian muka dan kedua-dua tapak tangan. Seseorang yang masih tidak dapat diiktiraf sebagai menutup aurat iaitu wanita yang berpakaian tetapi dilihat “bertelanjang”. Hal ini kerana, masih ramai wanita bertudung tetapi mengenakan pakaian ketat dan nipis hingga menampakkan bentuk atau susuk badannya dan mampu menaikkan nafsu syahwat lelaki yang bukan mahram melihatnya. Jika ada sekelumit perasaan megah dan bangga diri dengan apa yang dipakai saban itu turut mengudang dosa.

Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:

“Ada dua golongan yang akan menjadi penghuni neraka. Aku belum pernah melihat mereka iaitu golongan yang mempunyai cemeti bagaikan ekor lembu yang digunakan untuk memukul orang dan golongan kedua adalah para wanita yang berpakaian tetapi telanjang, berlenggang-lenggok ketika berjalan, menarik perhatian orang yang melihat mereka. Kepala mereka bagaikan bonggol unta yang senget. Mereka ini tidak akan masuk syurga dan tidak dapat mencium bau wanginya.” (Riwayat Muslim)Dalam isu pemakaian tudung, ia bukan sekadar berfesyen atau budaya untuk dijadikan ikutan semata-mata tetapi demi menjaga maruah mereka sebagai wanita Islam. Jika wanita itu berpakaian dengan sempurna pasti dapat mengelakkan diri daripada melakukan perbuatan mungkar.Oleh itu, setiap wanita bertudung perlu segera membetulkan prinsip dan niat mereka bertudung hanya kerana Allah serta menunaikan tanggungjawab sebagai hamba-Nya. Jika mereka sentiasa mengikut syariat setiap masa memakainya dikira sebagai ibadah. Setiap perkara yang diperintahkan itu pasti mempunyai hikmah dan ganjaran daripada Allah.

Antara hikmah menutup aurat ialah dapat menjaga maruah dan kehormatan diri serta menutup peluang orang lain terbabit dengan dosa akibat melihat aurat yang sengaja didedahkan. Wanita juga diperintahkan Allah SWT untuk menutup aurat dengan sempurna untuk membezakan antara wanita Islam dan kafir. Bertudung juga merupakan identiti wanita Islam sebagai suatu benteng untuk melindungi kehormatan diri.

Sebagaimana yang kita tahu, harga diri setiap wanita sangat tinggi nilainya. Disebabkan itulah, Allah memerintah seseorang wanita yang sudah baligh wajib menutup aurat sehingga menutupi seluruh badannya kecuali pada bahagian muka dan kedua-dua tapak tangan.Namun, apa yang ditonjolkan oleh golongan wanita pada hari ini masih tidak mematuhi garis panduan yang ditetapkan syariat Islam.

Oleh itu, setiap wanita Muslim perlu mengambil serius perkara ini supaya mereka terlepas daripada fitnah pandangan lelaki bukan mahram selain menjaga maruah wanita Muslim. Wanita juga perlu mengelak daripada berhias atau berpakaian secara berlebih-lebihan (tabarruj) sehingga menarik perhatian orang ramai.

(Diangkat dari www.islamitusuci.com)

18/10/12

DOSA-DOSA DISEBABKAN OLEH BAHAGIAN-BAHAGIAN TUBUH BADAN ANDA.






DOSA-DOSA YANG BERSANGKUT-PAUT DENGAN BAHAGIAN-BAHAGIAN TUBUH BADAN KITA.


1. DOSA DISEBABKAN - LIDAH


1. Lucah, cakap kotor.
2. Mungkir Janji.
3. Cakap Berlebihan.
4. Laknat.
5. Tipu.dan Fitnah.
6. Suka Bersumpah.
7. Mengumpat.
8. Bertengkar/Berdebat.
9. Puji.
10. Hipokrit.
11. Menyanyi.
12. Cakap Sia-sia.
13. Pecah Rahsia.
14. Ketawa/Gurau Berlebihan.


2. DOSA DISEBABKAN - TELINGA


1. Muzik.(Dengar yang sia-sia/haram)
2. Buruk cakap seperti mendengar mengumpat.
3. Dengar perbualan orang lain.


3. DOSA DISEBABKAN - MATA


1. Suka melihat material/harta benda/dunia.
2. Mingintai/Mengintip.
3. Cerita Lucah/Video.
4. Melihat Bukan Mahram.


4. DOSA DISEBABKAN - TANGAN


1. Berlagak.
2. Memukul/Menampar.
3. Isyarat Jijik/Kotor.
4. Menyentuh Bukan Mahram.


5. DOSA DISEBABKAN - KEMALUAN


1. Tidak Bersuci.
2. Zina
3. Mendedahkannya.
4. Bermain-main/Menyentuh.


6. DOSA DISEBABKAN - PERUT


1. Lebih makan dan minum.
2. Makan dan minum yang haram.
3. Ambil dadah.
4. Penuh dengan arak.


7. DOSA DISEBABKAN - KAKI


1. Masuk Tanpa Izin.
2. Bertemu Bukan Mahram.
3. Tempat yang sia-sia.
4. Pub/Kelab Malam.


OLEH ITU PELIHARALAH DAN SUCIKAN HATI DENGAN ZIKRULLAH.



1. Istighfar - Sekurang-kurangnya 100x sehari.


2. Selawat Nabi - Perbanyakkan sekurang-kurangnya 10x setiap kali selepas solat atau lebih.


3. Membanyakkan bertasbih - "Subhaanallah walhamdu lil-laah wa laa ilaaha illallaah wal llaahu akbar. wa laa haula wa laa quwwatta illaa bil laahil ‘aliyyil ‘azhiim."


4. Zikir - "La ilaha il Allah" sekurang-kurangnya 100x sehari (Zikir yang utama).


5. Banyak membaca Al-Quran.


PERJALANAN HIDUP ANDA ADALAH PILIHAN ANDA SENDIRI





Wasallam.

ORANG YANG TIDAK BERDOA, ALLAH SWT MURKA KEPADANYA.







Assalamualaikum,


Semua mengharapkan setiap hajat yang disampaikan kepada Allah SWT dimakbulkan dengan segera. Namun, dalam masa menanti doa dimakbulkan, ada kala wujud juga perasaan tertanya-tanya sama ada doa itu akan dipenuhi.


Oleh itu timbul soalan, apakah faktor menjamin Allah SWT menjawab doa kita? Formulanya mudah, seseorang yang meletakkan permintaan kepada Allah SWT perlu ikhlas dalam setiap perbuatannya. Allah SWT berfirman bermaksud: Dan Tuhan kamu berfirman:
“Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku, akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina.” (Surah Al-Mukmin, ayat 60)


Allah SWT berfirman bermaksud: Dan Tuhan kamu berfirman:
“Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku, akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina.” (Surah Al-Mukmin, ayat 60)


Walaupun kita digalakkan berdoa, tetapi pasti sukar kita memikirkan seseorang yang terus melakukan dosa, pada masa sama tanpa rasa bersalah memohon Allah SWT memenuhi keinginan kebendaan.


Lantas, bagaimana orang itu boleh menjangkakan Allah SWT menjawab doanya? Jika kita mempunyai rakan yang tersinggung atas perbuatan kita terhadapnya, apakah kita akan menjangka dia akan menghulurkan bantuan jika kita memerlukan?


Syarat pertama supaya Allah SWT menjawab doa kita ialah bertaubat dan memohon ampun kepada-Nya atas segala perbuatan dosa yang dilakukan. Taubat pula mesti ikhlas, bukan satu kenyataan lisan semata-mata yang kita ulangi seperti burung kakak tua.


Syarat kedua, tidak harus terburu-buru bermakna tidak harus mempertikaikan kehendak dan tindakan Allah SWT, akan menjawab semua doa kita atau bila kerana hanya Dia Maha Mengetahui waktu terbaik untuk dimakbulkan doa kita.


Oleh itu, sebagai Muslim beriman kepada Allah SWT, kita sepatutnya tidak melayan fikiran yang kerap kali mempertikaikan kenapa Allah SWT tidak menjawab doa atau memakbulkan hajat yang dipohon dalam doa.


Allah SWT berfirman bermaksud:
“Apabila hamba-Ku bertanyamu mengenai Aku hai Muhammad, maka jawablah Aku (Allah) amat hampir dengan mereka, Aku memenuhi doa yang memohon kepada-Ku. Maka mereka hendaklah memenuhi perintah-Ku dan mereka beriman kepada-Ku supaya mereka sentiasa mendapat petunjuk.” (Surah Al-Baqarah, ayat 186)


Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda maksudnya:
“Dikabulkan (doa) salah seorang daripada kamu selama dia tidak tergesa-gesa iaitu dengan berkata: Aku sudah berdoa (tetapi) tidak dikabulkan.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)


Rasulullah SAW menasihati kita tidak memikirkan doa dimakbulkan atau tidak kerana hal itu akan menyebabkan seseorang berasa kecewa lantas meninggalkan ibadah kepada Allah SWT. Tidak boleh juga kita mempersoalkan orang kafir yang tidak beriman kepada Allah SWT, tetapi diberi pelbagai nikmat. Kita hendaklah yakin Allah SWT sentiasa menjawab doa hamba-Nya yang mukmin.


Setiap kali selepas solat kita akan menadah tangan berdoa kepada Allah SWT. Adakah kita memohon satu perkara saja? Tidak, sebaliknya banyak benda yang kita mohon seperti disihatkan tubuh badan, dimurahkan rezeki, dimatikan dalam iman serta dikuatkan iman.


Apakah semua permohonan kita itu diperkenankan? Allah SWT makbulkan setengah daripadanya dengan segera dan ada yang ditangguhkan dulu. Oleh itu, hendaklah kita bersyukur dan sabar menunggu serta tidak boleh berputus asa daripada terus berdoa.


Seseorang mukmin yang tidak mahu meminta pertolongan kepada Allah SWT, Allah SWT murka kepadanya.


Daripada Abu Hurairah katanya: Rasulullah SAW bersabda:
“Orang yang tidak meminta (berdoa) kepada Allah, Allah murka kepadanya.” (Hadis riwayat Tirmizi)


Wassalam.

SEIMBANGKANLAH KEHIDUPAN DUNIA DAN AKHIRAT



Assalamualaikum,


Ada hadis Rasulullah SAW yang mengatakan bahawa orang miskin lebih ringan hisabnya dan lebih awal masuk ke syurga. Kenyataan Rasulullah SAW ini haruslah kita lihat sebagai satu bentuk motivasi diri agar berwaspada tatkala dikurniakan Allah SWT dengan limpahan harta benda.


Ini bukannya satu penghalang buat kita berusaha di dunia atau meninggalkan visi untuk menjadi seorang yang kaya.


Sebaliknya kenyataan Rasulullah SAW itu perlu diteliti dari perspektif murni yang mengajak kita supaya sentiasa dalam sifat kewaspadaan terhadap pemilikan harta sehingga hanyut dalam kenikmatannya. Juga mendidik kita supaya memanfaatkan harta kekayaan ke jalan yang menjurus kepada kehendak agama. Islam tidak pernah membawa umatnya ke arah negatif yang berbentuk pesimis dengan mengetepikan nikmat dunia lantaran mengejar ganjaran ukhrawi.


Walaupun kita lihat begitu ramai golongan ahlus sufah pada zaman Rasulullah SAW iaitu golongan miskin, tetapi mereka tidak terbabit dalam amalan negatif seperti meminta-minta. Apa yang berlaku ialah golongan miskin itu dibantu secara sukarela oleh golongan mukmin yang kaya. Inilah semangat ukhuwah yang jitu pada zaman Baginda.


Apa yang ditegah adalah sikap bakhil, kecintaan melampau terhadap nikmat dunia dan kurang peka terhadap golongan memerlukan bantuan. Sikap seumpama ‘enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing’ sebenarnya tidak ada dalam kamus Islam. Tinjaulah bagaimana mereka yang berada dalam kelompok mukmin yang bergelar hartawan seperti Uthman bin Affan, Abdul Rahman bin Auf mempamerkan nilai diri yang melandasi tuntutan agama. Mereka langsung tidak sayang dan kedekut dengan harta yang mereka miliki, sebaliknya merekalah yang muncul sebagai penyumbang utama kepada usaha meningkatkan syiar agama termasuk dalam aspek menyalurkan aneka bantuan kepada masyarakat. Sejarah dengan jelas merekodkan dalam tinta emas kedudukan mereka itu yang begitu berperibadi luhur dalam kerja-kerja membantu golongan miskin. Inilah sebenarnya yang Islam kehendaki, iaitu yang kaya membantu mereka yang miskin. Barulah bermakna dan bermanfaat segala harta dunia yang dimiliki.


Pesanan Allah SWT berikut ini wajar kita ingat selalu yang Firman-Nya:
Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian rahmat-Nya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan.” (Maksud Surah al-Qasas ayat 77)


Justeru, daripada apa yang dinyatakan Allah SWT itu jelaslah bahawa kita digalakkan supaya berusaha menggandakan usaha mencari kekayaan dunia tetapi dalam kerangka piawai hidup yang seimbang untuk dunia dan akhirat. Dengan demikian kita sebenarnya dianjurkan berusaha gigih memperoleh kekayaan dunia agar dapat mempertingkat kualiti ibadat yang berhubung secara langsung dengan Allah SWT dan sesama manusia. Inilah yang diarahkan kepada kita semua.


Allah SWT ada berfirman yang bermaksud,
“Orang yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang, dengan cara sulit atau berterang-terangan, maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka dan tiada kebimbangan (daripada berlakunya kejadian yang tidak baik) kepada mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.” (Maksud Surah al-Baqarah ayat 274).


Menyentuh firman Allah SWT ini, Imam al-Khazin dalam tafsirnya memberitahu kita bahawa: “Dikatakan bahawa ayat ini berlaku umum untuk setiap orang yang membelanjakan harta mereka pada setiap waktu dan merata untuk semua kalangan, baik yang berada dalam kesulitan memenuhi keperluan, dan mereka yang meminta-minta serta hidup dalam kemelaratan.”


Rasulullah SAW sepanjang hayat Baginda sangat memandang tinggi sikap dermawan yang tidak bakhil dengan menyumbangkan hartanya ke jalan kebaikan.


Dengan kenyataan yang juga berbentuk satu motivasi buat umatnya, baginda berpesan kepada kita:“Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah, dan tangan yang di atas suka memberi dan tangan yang di bawah suka meminta.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan Abu Daud)


Selain itu, kita perlu insafi bahawa Islam mendidik kita agar memperseimbangkan antara kehidupan dunia dan akhirat. Maknanya Islam tidak pernah menyarankan kita secara terus-menerus beribadah tanpa menoleh kepada aktiviti untuk memenuhi keperluan duniawi. Allah SWT dan Rasulullah SAW mengajak kita agar bertindak seimbang antara beribadah dan berusaha untuk memperlengkapkan keperluan diri sendiri dan juga untuk kemaslahatan insan yang lain. Dengan demikian fahamilah kita bahawa seseorang mukmin sejati bukanlah hidup miskin, menjauhkan dirinya daripada kehidupan dunia dan bersikap menyerah sahaja untung nasib kehidupan kepada Allah SWT.


Kata Baginda Rasulullah SAW bahawa kemiskinan dapat membawa seseorang itu ke dalam kekufuran seharusnya menjadi titik tolak membangkitkan semangat untuk menerokai dan mencari khazanah rezeki Allah SWT di muka bumi ini. Namun pada masa yang sama, Allah SWT dan Rasulullah SAW sering memperingatkan kita tatkala beroleh kekayaan dunia supaya tidak lupa diri sehingga melalaikan perintah agama dan bersikap mementingkan diri sendiri. Inilah yang terlarang.


Wassalam

DIANTARA AMALAN-AMALAN PADA MALAM JUMAAT DAN HARI JUMAAT.



Khamis, 18 Oktober 2012

Alhamdulillah kerana Allah SWT masih memanjangkan usia kita supaya kita dapat mengejar redha-Nya. Marilah kita perbanyakkan amalan dan ibadat kepada-Nya terutama pada malam Jumaat dan hari Jumaat. Jumaat adalah hari yang Allah gandakan ganjaran amalan yang baik hamba-Nya yang soleh.


Rasulullah bersabda bermaksud:


“Barang siapa secara mudah meninggalkan sembahyang Jumaat sebanyak tiga kali berturut-turut, Allah akan menjadikan hatinya keras untuk menerima kebenaran.”


Amalan-amalan pada malam dan hari Jumaat


1. Solat Subuh berjemaah


Dari Abu Ubaidah al-Jarrah r.a katanya:


“Rasulullah s.a.w bersabda: (bermaksud) “Tidak ada daripada mana-mana sembahyang yang paling afdhal daripada sembahyang Suboh pada hari Jumaat secara berjemaah dan saya berpendapat bahawa tidak ada sesiapa yang menghadirinya di antara kamu melainkan dia memperoleh keampunan” (At-thabarani)


Pahala sembahyang Subuh berjemaah adalah yang paling besar diantara sembahyang berjemaah yang lain.


2. Membaca surah Al-Kahfi pada siangnya


Dari Ibnu Umar r.a katanya:


“Rasulullah s.a.w bersabda: (bermaksud) “Sesiapa yang membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, maka terbitlah cahaya dari bawah kakinya mencecah hingga ke langit tinggi meneranginya pada hari kiamat dan dia akan diberi keampunan (terhadap dosanya) di antara dua Jumaat”


3. Membaca surah Al-Kahfi pada malamnya


Dari Abu Said Al-Khudri katanya: (bermaksud)


“sesiapa yang membaca surah Al-Kahfi pada malam Jumaat, maka dia akan mendapat cahayanya di antara tempatnya dengan Kaabah”


DOWNLOAD MP3 SURAH AL-KHAFI - KLIK


4. Memperbanyakkan sedeqah


Ibnu Abu Syaibah didalam kitab Al-Mushannaf telah mentakhrijkan daripada Ka,ab r.a, katanya: (bermaksud)


“Bersedeqah pada hari Jumaat digandakan ganjarannya”


5. Membaca surah Ad-Dukhaan


Dari Abu Hurairah r.a, katanya,


“Rasulullah s.a.w bersabda: (maksudnya) “sesiapa yang membaca ‘Haa Miim, Ad-dukhaan’ pada malam Jumaat, dia akan diberi keampunan” (Tarmizi).


Abu Umamah r.a, katanya “Rasulullah s.a.w bersabda: (bermaksud)


“Sesiapa yang membaca ‘Haa Miim, Ad-Dukhaan pada malam Jumaat atau hari Jumaat, Allah membina sebuah rumah baginya di syurga” (At-Thabarani)


6. Membaca surah Yasiin pada malam Jumaat


Abu Hurairah r.a, katanya:


Rasulullah s.a.w bersabda: (bermaksud) “Sesiapa yang membaca pada malam Jumaat ‘Haa Miim Addukhaan’ dan ‘yasiin’ jadilah dia pada pagi harinya dalam keadaan diampuni” (Al-Baihaqi)


DOWNLOAD MP3 SURAH YASIIN - KLIK


7. Zikir memohon ampun sebelum suboh hari Jumaat


Dari Anas r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: (bermaksud)


“Sesiapa yang membaca sebelum suboh hari jumaat sebanyak tiga kali ‘Astaghfirullah…….…wa atu-bu-ilaih’ dosanya diampun walaupun lebih banyak daripada buih di lautan” (At-Tabarani)


8. Memperbanyakkan selawat


Abu Umamah r.a katanya:


“Rasulullah s.a.w bersabda: (bermaksud) “Perbanyak oleh kamu selawat ke atasku pada setiap Jumaat kerana sesungguhnya selawat umatku dibentangkan ke atasku setiap Jumaat, maka sesiapa yang paling banyak berselawat ke atasku adalah tempatnya paling dekat denganku” (Al-Baihaqi)


Kelebihan selawat - Klik Link


Wasallam.